MB Selangor sumbang RM10,000 bawa pulang rakyat Sabah mengundi
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 bagi membawa pulang rakyat Sabah yang berada di Semenanjung untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor berkata, sumbangan kepada Persatuan Kasih Mahasiswa Malaysia itu sebagai tanda sokongan kepada demokrasi dan dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 30 orang pengundi.
“Sebagai tanda solidariti kepada pengundi Sabah, saya menyokong kempen Pulang Mengundi Sabah dan bersetuju memberi sumbangan peribadi sebanyak RM10,000.
“Ia bagi membawa pulang rakyat Sabah yang berada di Semenanjung supaya mereka dapat mengundi pada PRN Sabah Sabtu hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, beliau dan pimpinan PKR Selangor menggesa orang ramai menyumbang melalui akaun @PulangMengundiSabah di Facebook serta @PulangMengundi di Twitter.
Tambahnya, PKR Selangor komited menyuburkan amalan demokrasi di negara ini dan memperkukuhkan semangat setiakawan rakyat berbilang kaum berteraskan semangat Perlembagaan Persekutuan.
ARTIKEL BERKAITAN: Beri diskaun tambang rakyat Sabah pulang mengundi
Tiket mahal, kes Covid-19 faktor perantau tak pulang mengundi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!