Wanita sesak nafas terhidu bahan kimia

Pasukan bomba sedang menangani tumpahan bahan kimia di Kampung Fikri, Kemaman, di sini semalam. - Foto ihsan bomba
Pasukan bomba sedang menangani tumpahan bahan kimia di Kampung Fikri, Kemaman, di sini semalam. - Foto ihsan bomba
A
A
A

KEMAMAN - Seorang wanita berusia lingkungan 30-an terpaksa menerima rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami sesak nafas dan pening dipercayai terhidu bahan kimia di kediamannya di Kampung Fikri, di sini semalam.

Ketua Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.15 petang.

AZMAN ALIAS
AZMAN ALIAS

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang lelaki yang juga rakan kepada ayah mangsa telah datang ke rumah itu untuk mengambil sebuah tong plastik.

"Lelaki itu disyaki membuang sisa yang dipercayai berisi bahan kimia jenis sodium chlorite.

"Bagaimanapun, bahan kimia itu dikatakan mengeluarkan letupan dan asap ketika dicurahkan ke longkang.

"Mangsa yang berada di rumah mengalami pening dan sesak nafas dipercayai terhidu gas berkenaan. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk menerima rawatan pesakit luar," katanya.

Jelasnya, seramai 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh bergegas ke lokasi bagi menangani tumpahan bahan kimia dengan menggunakan air dari jentera bomba.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi selesai sepenuhnya pada jam 9.05 malam tadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!