Covid-19 tidak halang rakyat Itali keluar mengundi
ROM - Ketakutan terhadap Covid-19 tidak menghalang rakyat Itali mengundi dalam pungutan suara untuk meminda Perlembagaan bagi mengurangkan jumlah anggota parlimen, serta pilihan raya di tujuh wilayah dan di ratusan bandar serta kota.
Rakyat yang mengundi di seluruh negara adalah 39.38 peratus pada Ahad, hari pertama pengundian, lapor Italian National Associated Press Agency (ANSA) memetik Kementerian Dalam Negeri.
Data yang dikeluarkan kementerian itu menunjukkan sebanyak 41.37 peratus di empat daripada tujuh wilayah yang mengadakan pilihan raya.
Pusat pengundian dibuka semula 7 pagi Isnin dan ditutup 3 petang.
Rakyat memilih sama ada meluluskan undang-undang perlembagaan untuk meminda Perlembagaan Itali bagi mengurangkan jumlah anggota Parlimen, dari 630 kepada 400 di Dewan Perwakilan dan dari 315 kepada 200 di Dewan Senat.
Pemilihan daerah sedang berlangsung di Veneto, Campania, Tuscany, Liguria, Marche, Puglia dan Valle d'Aosta.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!