TikTok rancang tawaran awam elak operasi ditutup di AS
BEIJING - Aplikasi TikTok merancang untuk mengadakan satu penyenaraian awam, kata syarikat induknya, ByteDance hari ini selepas mengumumkan satu perjanjian pada hujung minggu lalu yang mampu mengelakkan operasinya ditutup di Amerika Syarikat (AS).
Perjanjian tersebut yang telah diluluskan oleh Presiden AS, Donald Trump menyaksikan syarikat gergasi Lembah Silikon, Oracle menjadi rakan data kepada aplikasi itu manakala Walmart pula menjadi rakan komersial sekali gus mewujudkan sebuah syarikat baharu iaitu TikTok Global.
Dalam satu kenyataan di media sosial, ByteDance berkata, bahawa TikTok Global merancang pra-tawaran awam (IPO) yang kecil selepas ia memiliki 80 peratus saham dalam syarikat baharu itu.
Syarikat itu menambah lembaga pengarah TikTok Global itu akan termasuk Pengasas ByteDance, Zhang Yiming bersama pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Walmart ketika ini.
"TikTok Global juga turut melancarkan satu rancangan penyenaraian untuk memperbaiki lagi struktur pentadbiran dan ketelusan syarikat," kata kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan lokasi tawaran awam itu dan berapa besar saiznya.
Bloomberg melaporkan bahawa ByteDance berusaha untuk mendapatkan nilai sebanyak AS$60 bilion (RM246.63 bilion) untuk TikTok dengan memetik kenyataan daripada sumber dalaman tentang IPO itu.
TikTok yang menjadi fenomena global dengan platform perkongsian videonya sebelum ini telah menjadi tumpuan ramai pihak sejak beberapa bulan lalu ketika berlakunya ketegangan hubungan antara China dengan pihak Barat.
Trump mendakwa TikTok mengumpulkan data untuk Beijing tanpa memberikan bukti dan pada awal Ogos lalu memberikan tempoh sehingga 20 September lalu untuk menyerahkan operasi aplikasi itu di AS kepada sebuah syarikat Amerika.
ByteDance pula mengalami tekanan di China supaya tidak tunduk kepada tekanan AS kemudian menjelaskan tentang 'khabar angin' itu dengan mengumumkan satu perjanjian sudah dicapai.
Syarikat itu menyatakan perjanjian itu tidak melibatkan perpindahan teknologi dan algoritma.
Oracle pula diberikan kuasa untuk memerikasa sumber kod TikTok di AS dan ByteDancer berkata, menunjukkan sumber kod itu merupakan cara syarikat multinasional untuk mengurangkan kebimbangan tentang isu data keselamatan tempatan.
Pada Sabtu lalu, Jabatan Perdagangan AS menyatakan ia menangguhkan sehingga 27 September ini larangan memuat turun aplikasi TikTok di negara itu yang sebelum ini akan dikuatkuasakan pada Ahad lepas.
Keputusan itu diambil berikutan berlakunya perkembangan positif, kata satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan jabatan tersebut selepas TikTok mengesahkan satu cadangan perjanjian mengenai operasinya di AS melibatkan Oracle sebagai rakan teknologi dan Walmart sebagai rakan perniagaan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!