Alahai kaki adik tersepit
BATU GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terpaksa menahan sakit hampir 20 minit akibat tersepit antara batang pokok ceri dan tiang elektrik di Kampung Bakap di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, kanak-kanak tersebut dipercayai cuba memanjat pokok berkenaan sebelum pahanya tersangkut pada celah dahan pokok itu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Raja Mohd Saad Raja Adnan berkata, sepasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.23 petang.
“Setibanya di lokasi terdapat seorang kanak-kanak lelaki tersepit antara tiang elektrik dan sebatang pokok pada ketinggian satu meter.
“Anggota bomba bertindak menggunakan peralatan merenggangkan dahan sebelum berjaya mengeluarkan paha mangsa,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kaki mangsa mengalami calar.
“Operasi ditamatkan pada jam 5 petang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!