Pelampau Yahudi langgar lockdown, ceroboh Masjid al-Aqsa
BAITULMAQDIS - Beberapa pelampau Yahudi bertindak melanggar perintah lockdown baharu selepas mereka didakwa menceroboh kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa semalam walaupun kawasan masjid ketiga paling suci orang Islam itu telah ditutup sejak Jumaat lalu.
Kumpulan terbabit yang diiringi polis rejim Zionis dikatakan melakukan upacara keagamaan sempena sambutan tahun baharu Yahudi digelar ‘Rosh Hashanah’.
Tindakan provokasi mereka yang mencemari kesucian al-Aqsa itu berlaku selepas Tel Aviv melaksanakan langkah lockdown kedua yang berkuat kuasa selama tiga minggu susulan lonjakan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) sejak dua minggu lalu.
Di bawah arahan baharu itu, penduduk Israel juga tidak dibenarkan keluar dalam lingkungan satu kilometer dari rumah masing-masing dan sekatan ketat itu didakwa telah mencetuskan kemarahan penganut Yahudi ultra-ortodoks.
Dalam perkembangan berkaitan, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Baitulmaqdis untuk menuntut pengunduran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang merupakan demonstrasi antikerajaan pertama sejak arahan lockdown baharu berkuat kuasa.
Kebanyakan peserta protes berang atas kegagalan pentadbiran Netanyahu menangani krisis pandemik itu selepas pelaksanaan langkah lockdown pertama pada Mac lalu.
Difahamkan, tunjuk perasaan masih dibenarkan walaupun Israel telah mengumumkan sekatan baharu tersebut.Ketika ini, kebanyakan penduduk Israel bimbang kemelesetan ekonomi akan bertambah buruk akibat lockdown kedua tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!