Plak antimonarki Thailand hilang
BANGKOK - Sebuah plak yang dipasang oleh kumpulan penunjuk perasaan antimonarki didakwa hilang sehari selepas ia ditempatkan dekat Istana Besar di Bangkok semalam.
Pemasangan plak berwarna keemasan tersebut yang memaparkan simbol hormat tiga jari itu bertujuan untuk mengisytiharkan Thailand sebagai milik rakyat dan bukannya raja.
Menurut polis, mereka tidak mempunyai sebarang maklumat tentang insiden tersebut.
“Saya ada menerima aduan tentang kejadian tersebut dan kami tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu. Kami meminta bantuan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) untuk membuat pemeriksaan memandangkan plak itu sebahagian bukti untuk mendakwa kumpulan protes terbabit,” kata Ketua Timbalan Polis Bangkok, Piya Tawichai semalam.
Difahamkan, sebelum ia dilaporkan hilang peserta protes sempat merakamkan gambar bersama plak tersebut yang merupakan replika mencetuskan Revolusi 1932 yang menamatkan sistem raja mutlak di Thailand. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!