Hoki Piala Tun Abdul Razak: Sabah kalahkan Johor

Pemain Pulau Pinang Muhammad Haikal Abdul Mutalib (kiri) dihalang pemain Melaka Dedy Ariyadi Jumaidi pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Pemain Pulau Pinang Muhammad Haikal Abdul Mutalib (kiri) dihalang pemain Melaka Dedy Ariyadi Jumaidi pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaringan hattrick bintang meningkat naik Shello Silverius membantu Sabah mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak, selepas membelasah Johor 5-0, hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu menyempurnakan dua pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-25 dan 41, serta satu jaringan padang pada minit ke-28 untuk mengejutkan naib juara tahun lepas dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Sabah yang sebelum ini menyepi selama empat tahun susulan masalah kewangan, kembali ke dalam saingan tahun ini dengan menampilkan 15 pemain yang akan beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

“Semua pemain buat persiapan paling bagus dan terbaik untuk menghadapi perlawanan ini dan kami dapat jaringan yang kami tidak sangka. Kami bermain ikut taktikal jurulatih dan inilah hasilnya.

“Fokus sekarang adalah untuk sesuaikan diri dan melepasi suku akhir esok untuk tempat ke separuh akhir. Kami cuba beri pendedahan kepada pemain junior, motivasi untuk main dengan lebih yakin dan tahap tinggi,” kata Shello, yang beraksi bersama pasukan Johor tahun lepas.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan Johor Mohd Nor Affazly Abdul Ghaffar berkata kekalahan yang dialami hari ini membantunya mengenal pasti kelemahan anak buah sebelum ke temasya Sukma tahun depan.

Wakil dari Selatan itu membariskan 14 pemain skuad Sukma dan dua pemain kebangsaan - pemain pertahanan Faiz Helmi Jali dan penjaga gol Mohammad Hairi Abdul Rahman - pada kejohanan kali ini.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, Perak mara ke suku akhir selepas terikat 2-2 dengan Selangor. Perak mengungguli kumpulan B dengan lima mata, diikuti Sabah (empat), Selangor (tiga) dan Johor (dua).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam saingan kumpulan D, juara 19 kali Kuala Lumpur menewaskan Kedah 5-0, manakala Pahang mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 untuk slot ke suku akhir.

Terengganu pula berpesta gol apabila menewaskan Kelantan 14-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan C, dengan bekas pemain kebangsaan Faizal Saari menyumbang enam gol, sekali gus melayakkan Terengganu ke suku akhir.

Juara bertahan Melaka juga layak ke suku akhir selepas mengalahkan Pulau Pinang 2-0, menerusi jaringan Muhammad Muhibuddin Moharam’s pada minit ke 35 dan 41 dalam saingan kumpulan A. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!