Ahmad Nor Iman azam kekal prestasi

Ahmad Nor Iman Hakim Rakib
Ahmad Nor Iman Hakim Rakib
A
A
A

SEJURUS dinobatkan Olahragawan Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik (Polysea) 2019, atlet taekwondo negara, Ahmad Nor Iman Hakim Rakib, 20, berazam mengekalkan prestasi terbaiknya bagi mengharungi kejohanan dalaman mahupun di luar negara.

Penuntut semester dua Diploma Peruncitan daripada Politeknik Negeri Sembilan (PNS) itu berkata, dia tetap bersedia dengan sebarang berkemungkinan walaupun tidak ada sebarang kejohanan dianjurkan ketika ini ekoran pandemik Covid-19.

“Seperti kita semua sedia maklum, tiada sebarang kejohanan yang diadakan setakat ini tetapi itu bukan alasan buat saya daripada terus berehat panjang.

“Difahamkan, ada satu kejohanan di peringkat dalaman yang dijangka dianjurkan oleh pihak Tae Kwon Do Malaysia pada penghujung tahun ini, jadi saya tetap kena bersedia," katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Polysea 2019 di Putrajaya semalam.

Pemilihan anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu sekali gus mengulangi kejayaan penuntut PNS, Nor Putra Danial Azlan Mohd Noor Azlan juga dari sukan taekwondo yang dinobatkan selaku Olahragawan Polysea 2018.

Mengulas mengenai pengurusan masanya sebagai atlet dan pelajar, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pihak Politeknik banyak membantunya untuk mengikuti kelas pengajian dan sesi latihan serta penyertaan dalam mana-mana kejohanan.

“Syukur alhamdulillah pihak Politeknik banyak membantu sejak saya bergelar atlet negara. Semoga saya dapat pergi lebih jauh dalam sukan taekwondo seterusnya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabagsa,” ujarnya yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Sementara itu, atlet petanque negara, Siti Aisyah Zaini daripada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) meraih gelaran Olahragawati Polysea 2019.

Artikel Berkaitan:

Anugerah Atlet Lelaki dan Wanita Harapan masing-masing dimenangi Amalul Hazim Nasarrudin daripada Politeknik Merlimau dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi (PNS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!