AS terlalu angkuh dengan Iran
HUBUNGAN Amerika Syarikat (AS) dengan Iran tidak pernah berada dalam keadaan baik selepas kejatuhan negara itu daripada pemerintahan beraja Shah Iran kepada Republik Islam pada tahun 1979.
Teheran juga dikatakan mengamalkan dasar anti terhadap beberapa buah negara Barat apabila ia dipimpin oleh pemimpin agungnya, Ayatollah Ruhollah Khomeini yang berjaya menggulingkan Shah Iran dan membentuk negara Syiah yang berpengaruh di Asia Barat.
Sejak itu, AS sentiasa curiga dengan Iran dan mengadakan pelbagai sekatan seperti senjata dan ekonomi dengan menggunakan pelbagai alasan seperti pada tahun 1990-an ketika berada di bawah pemerintahan bekas presiden George H W Bush dan Bill Clinton.
Alasan terbaharu yang digunakan oleh AS ialah Teheran melanggar Pelan Tindakan Kerjasama Komprehensif (JCPOA) apabila ia didakwa meningkatkan proses pengayaan uranium, satu tindakan yang ditakuti oleh Washington kerana ia boleh menghasilkan senjata nuklear.
Iran sebelum ini berulang kali menafikan ia mahu menghasilkan senjata nuklear tetapi ia berhasart mahu menggunakan teknologi itu untuk tujuan menjana kuasa elektrik.
Bagaimanapun, pada Sabtu lalu, AS menerusi Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengumumkan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran kembali semula untuk dikuatkuasakan.
"Hari ini (Sabtu) AS menyambut baik kembalinya semula semua sekatan PBB yang sebelum ini ditamatkan ke atas Republik Islam Iran," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi mengelak AS dilihat keseorangan dalam isu sekatan itu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump juga berjanji untuk melaksanakan 'tindakan' ke atas mana-mana anggota PBB yang tidak mematuhi sekatan tersebut.
Washington juga akan menafikan akses sistem kewangan dan pasaran AS terhadap pihak yang didapati melanggar sekatan senjata seperti yang diumumkan secara satu pihak itu.
Sekatan itu sebenarnya telah ditarik balik apabila Iran dan Majlis Keselamatan PBB iaitu anggotanya terdiri daripada Britain, China, Perancis, Rusia, AS dan Jerman menandatangani perjanjian JCPOA berhubung program nuklear Iran pada tahun 2015.
Perjanjian yang menyatakan program nuklear Iran adalah secara eksklusifnya untuk tujuan keamanan itu dan ditandatangani ketika AS berada di bawah pemerintahan Presiden AS, Barack Obama daripada parti Demokrat tetapi tidak dipersetujui oleh Trump.
Lebih malang lagi, pada tahun 2018, Presiden AS daripada parti Republikan itu telah bertindak secara satu pihak dengan menarik keluar negaranya daripada perjanjian tahun 2015 itu.
Perjanjian itu diadakan selepas dua tahun perbincangan dilakukan dan bagi menghalang kemampuan Iran membangunkan senjata nuklear sebagai tukaran kepada sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Teheran.
Namun, Trump menganggap ia sebagai satu perjanjian yang teruk dan tidak menganggap ia mampu menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Akhbar The Mail on Sunday pernah membongkarkan perbalahan isu nuklear Teheran itu dikatakan mempunyai sebab-sebab peribadi berdasarkan kepada memo yang bocor dan ditulis oleh bekas Duta United Kingdom ke AS, Sir Kim Darroch kepada Setiausaha Luar Britain ketika itu tetapi kini memegang jawatan Perdana Menteri, Boris Johnson.
Darroch dalam memo yang isi kandungannya telah bocor kepada media itu mendakwa Trump tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut kerana ia ditandatangani oleh Obama yang ketika itu Presiden AS.
Trump juga pernah berkata dalam wawancaranya dengan Fox News bahawa Iran memulakan 'keganasan sebenar' hanya selepas ia menerima berbilion-bilion dolar daripada Obama sebagai sebahagian daripada perjanjian JCPOA.
Menurut laporan CNN pada tahun lalu, Presiden AS itu juga berkata, melalui JCPOA juga, Obama memberikan Iran sebanyak AS$150 bilion (RM618.75 bilion).
Justeru, menurut portal Open Democracy baru-baru ini, tindakan Trump untuk melaksanakan semula sekatan bukannya dilihat untuk kepentingan AS tetapi disebabkan keazamannya untuk menterbalikkan keputusan yang dilakukan oleh pendahulunya sebelum ini.
Tindakan pentadbiran Trump itu juga dikritik oleh Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang menyatakan sekatan ke atas Iran itu tidak akan berjaya kerana ia sebelum ini sudah ditarik balik oleh AS.
"Logik dasar luar AS ketika ini ialah untuk menjadikan Iran sebagai fokus sekatan dan tindakan menghukum dengan menyajikan perubahan kepimpinan sebagai satu perkara yang akan membuatkan seluruh rantau (Asia Barat) bernafas dengan bebas (keamanan dicapai)," katanya seperti dilaporkan oleh Middle East Monitor baru-baru ini.
Ia merupakan satu tamparan hebat kepada AS kerana Perancis, Jerman dan Britain turut mengeluarkan kenyataan bersama dengan menganggap sekatan yang diumumkan Washington itu sebagai tidak mempunyai sebarang kesan perundangan.
Pengumuman itu juga dianggap tidak mempunyai kewibawaan kerana China turut mengkritik sekatan AS ke atas Iran sebagai tidak mempunyai kesan perundangan, politik atau praktikal dan meminta Washington supaya menamatkan drama politik.
Bagi pihak Iran pula, Presidennya, Hassan Rouhani berkata menerusi televisyen: "Amerika sedang mendekati kekalahan berikutan (pengumuman) sekatan itu. Ia berdepan dengan kekalahan dan tindak balas negatif daripada masyarakat antarabangsa."
Akhirnya, pentadbiran Trump dikritik hebat disebabkan oleh dasar luarnya yang kontroversi dibuat tanpa mengikut undang-undang antarabangsa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!