Debaran dunia menanti vaksin Covid-19
NAMPAKNYA penularan wabak koronavirus (Covid-19) masih gagal dicegah malahan jumlah kes jangkitan dan kematian menunjukkan peningkatan setiap hari.
Sehingga semalam, jumlah korban meningkat hampir 967,000 orang sejak virus itu mula dikesan di Wuhan, China hujung tahun lalu manakala jumlah jangkitan melebihi 31 juta kes.
Pada masa sama, banyak negara turut berusaha menghasilkan vaksin agar boleh mematikan segera virus pembunuh itu. Difahamkan, lebih 82 organisasi penyelidikan seluruh dunia kini berusaha membangunkan vaksin Covid-19.
Negara-negara kuasa besar, khasnya yang mempunyai kes jangkitan yang tinggi seperti China dan Amerika Syarikat, kini berlumba-lumba menghasilkan vaksin dalam usaha muncul sebagai ‘penyelamat’ pertama kepada seluruh dunia.
Contohnya, pada minggu lalu, China mengumumkan vaksin ciptaan mereka dijangka boleh dipasarkan seawal November nanti.
Seperti tidak mahu mengalah, Amerika Syarikat turut tidak ketinggalan apabila Presidennya, Donald Trump mendakwa vaksin ciptaan negaranya mungkin siap dalam sebulan lagi, lebih awal berbanding jangkaannya sebelum ini.
Seperti rakyat di seluruh dunia, rakyat Malaysia juga mengharapkan ada vaksin yang benar-benar boleh menamatkan riwayat virus Covid-19 dan ia dapat tiba di negara kita secepat yang mungkin.
Kita pastinya menyambut baik kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Sabtu lalu apabila mengesahkan akan menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) bagi mendapatkan sebahagian daripada bekalan vaksin Covid-19 yang diperlukan.
Malaysia kini adalah antara 172 negara yang mendaftar dan menandatangani pelan tersebut. Dengan adanya perjanjian itu, ia akan memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin yang mencukupi dan pada kadar segera dengan harga yang berpatutan apabila vaksin itu terbukti selamat serta berkesan.
Sememangnya seluruh dunia kini ternanti-nanti penghasilan vaksin Covid-19 itu. Sama ada ia berkesan atau tidak, masih terlalu awal untuk mengetahuinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!