Hishammuddin minta maaf kepada waris wira Lahad Datu
KOTA KINABALU - Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung insiden pencerobohan Lahad Datu adalah sebagai tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Hishammuddin mewakili bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya itu memohon maaf kepada waris wira yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna.
"Bagi pihak Mohamaddin Ketapi, saya ingin meminta maaf kepada keluarga dan waris wira-wira kita yang terkorban di Tanduo, Lahad Datu.
"Saya tengok kenyataan beliau tidak bertanggungjawab dan lebih baik dia tanya Presiden dia sendiri apa yang berlaku di Semporna.
"Ramai yang terkorban di sana, kalau betul ia sandiwara, biar Presiden dia yang mengesahkan sama ada iya atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Semarak Hari Malaysia di Dewan Taman Perindutrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin Warisan hina pejuang Lahad Datu: Anifah
Kenyataan Mohamaddin singgung keluarga anggota ATM
Polis terima laporan terhadap kenyataan Mohamaddin: KPN
Mohamaddin nafi hina anggota keselamatan
Pemimpin Warisan hina pejuang Lahad Datu: Anifah
Hishammuddin turut mengingatkan pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) itu supaya tidak melampaui batas ketika berpolitik.
"Saya lihat mereka ini terdesak, sudah tiada isu lain dan bila orang mengatakan bahawa mereka membuka ruang untuk pihak tertentu datang keluar masuk ke Sabah dan memudahkan perjalanan mereka, mereka cuba nak alihkan pandangan orang ramai kepada isu yang tiada asasnya," katanya.
Beliau yang juga bekas Menteri Pertahanan turut menepis tuduhan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak melakukan sebarang tindakan ketika memerintah dulu.
"Tuduhan bahawa kita tidak melakukan apa-apa semasa kita memerintah, saya akan keluarkan kenyataan malam ini juga dan kita senaraikan apa yang kita buat di Lahad Datu termasuk membuat kem dan mengatur gerak perkakas dan bala tentera kita di sini.
"Lebih daripada 10 perkara besar yang kita buat selepas Lahad Datu, saya nak tanya kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), 27 bulan dia memerintah apa dia sudah buat untuk memastikan keselamatan Sabah," katanya.
Terdahulu, majlis turut dihadiri calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!