Polis tidak tolak kemungkinan kemasukan pemegang dua kerakyatan

Abdul Hamid (kiri) ketika meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu hari ini.- Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Abdul Hamid (kiri) ketika meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu hari ini.- Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu dari negara jiran yang memiliki dua kewarganegaraan akan masuk ke Sabah untuk mengundi dan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ada desas-desus mengatakan kumpulan ini mempunyai agenda untuk menyokong sesuatu pihak pada PRN Sabah.

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingin masuk ke Sabah untuk menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Sekiranya kita dapat tangkap mereka ini, dan mendapati sah mereka ada dua kerakyatan, kita akan batalkan kad pengenalan mereka serta mengusir individu berkenaan keluar dari Malaysia.

“Janganlah sesekali cuba untuk mengganggu-gugat proses demokrasi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, seramai 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak dapat mengundi awal hari ini kerana mereka terpaksa melalui proses kuarantin.

"Ada mereka yang berada di Lahad Datu dan ada juga di Kota Kinabalu. Mereka dikuarantin kerana telah terlibat dalam operasi menangkap warga asing yang kemudiannya disahkan positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, setakat ini proses pengundian awal di seluruh Sabah berjalan lancar dan terkawal.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap semua pegawai dan anggota polis segera keluar mengundi kerana saya lihat cuaca bila-bila masa sahaja akan hujan. Lebih awal datang, lebih baik," katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman Covid-19.

"Jangan terlalu ghairah untuk pergi mendengar kempen sehinggakan lupa tentang ancaman lebih besar iaitu Covid-19 kerana dalam beberapa hari ini jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah meningkat dengan tinggi sekali," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!