Lang Merah terbang tinggi di Cheras
KEDAH kembali merampas kedudukan kedua liga daripada Perak apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas Sabah pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Kemenangan kelima liga selepas lapan perlawanan itu membolehkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kembali berada di posisi itu setelah mengumpul 16 mata, dua mata mengatasi The Bos Gaurus dengan berbaki tiga perlawanan.
Hijau Kuning terlebih dulu di depan pada minit ke-26' setelah pemain import dari Liberia, Kpah Sherman menanduk masuk hantaran lintang Kipre Tchetche.
Bagaimanapun, Sabah yang tidak berputus asa menyamakan kedudukan menerusi rembatan pemain kacukan Thailand-Jerman, Dennis Buschening seminit kemudian.
Aksi babak kedua menyaksikan Lang Merah terus aktif meningkatkan asakan ke kubu skuad Tembadau kendalian Kurniawan Dwi Yulianto berkenaan.
Hasilnya Kedah memperoleh gol kedua pada minit ke-70' menerusi Tchetche sebelum Fayadh Zulkifli Amin melebarkan kedudukan kepada 3-1 pada minit ke-75'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!