Sukma 2020 diteruskan

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah meneruskan penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan Sukan Para Sukma pada Mac dan April tahun depan adalah bagi memastikan kesinambungan latihan kepada atlet pelapis negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun terdapat kebimbangan terhadap pandemik Covid-19, temasya sukan dwitahunan tempatan itu adalah platfom pendedahan terbaik buat atlet muda sebelum menyertai kejohanan lebih besar seperti Sukan Olimpik.

“Wabak Covid-19 adalah cabaran yang bukan hanya dihadapi Malaysia, tetapi seluruh dunia.

“Maka, sebab itulah kejohanan itu masih lagi diteruskan kerana kami melihat bahawa perlu adanya latihan di peringkat negeri-negeri membabitkan atlet pelapis,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Alan Ling Sie Kiong mengenai perancangan kementeriannya dalam memastikan pelapis atau bakat muda dapat dicungkil dan diserap ke pasukan kebangsaan susulan pandemik Covid-19 yang menyukarkan sesuatu latihan dijalankan.

Menurut beliau, kejohanan secara dalam talian juga dijalankan bagi memastikan kebolehsaingan atlet negara dapat diteruskan.

“Contohnya, acara terjun, walaupun tidak boleh ke luar negara, tidak dapat penyertaan atlet luar negara ke negara kita, tetapi kita telah usaha untuk lakukan kejohanan terjun secara dalam talian yang disertai oleh beberapa atlet negara luar, dan lakukan terjunan yang dinilai oleh juri dari negara-negara lain.

“Secara tidak langsung, ini adalah satu daripada usaha untuk mengekalkan daya saing atlet tersebut dan atlet dapat keupayaan untuk mencapai prestasi puncak dalam sukan RTT (Road To Tokyo) atau Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!