Tukar Solskjaer, bukan beli pemain baharu
MANCHESTER United disaran mencari pengendali baharu bagi menggantikan Ole Gunnar Solskjaer, bukannya membeli pemain untuk memperkuatkan pasukan tersebut.
Pemerhati bola sepak England yang juga bekas pemain Chelsea, Tony Cascarino berkata, Solskjaer bukan pengendali tepat untuk The Red Devils kerana tidak berani mengambil risiko dan gagal membuat keputusan tepat dalam setiap perlawanan.
Malah, Cascarino menyifatkan pengendali Leeds United, Marcelo Bielsa mampu menjadi pengganti Solskjaer dan memacu United kembali menjadi sebuah pasukan gergasi Eropah.
Bielsa disebut sebagai pengendali berani yang mampu membawa Leeds tampil agresif ketika kalah tipis 3-4 kepada penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool, serta menang 4-3 atas Fulham, Sabtu lalu.
"Saya pikir Solskjaer melakukan banyak kesalahan. Dia seharusnya menerapkan perubahan lebih awal dalam perlawanan tersebut, tetapi dia tidak melakukannya.
"Saya menyaksikan Leeds sebelum menonton perlawanan membabitkan United dan saya berfikit mungkin pasukan itu memerlukan sesuatu yang berbeza. Bukan hanya membeli pemain baharu.
"United pada ketika ini adalah sebuah pasukan yang tidak berani mengambil risiko. Memang benar ada ketika Solskjaer melakukan perkara betul dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Mereka sangat agresif dan menyerang dengan baik. Tetapi dalam perlawanan menentang Crystal Palace mereka seperti hilang punca," katanya.
Terdahulu, United menempa kekalahan dalam aksi pembukaan EPL apabila tunduk mengejut kepada Crystal Palace 1-3 dalam aski di Old Trafford pada Sabtu lalu.
Kekalahan kepada Palace itu turut membuatkan posisi Solskjaer selaku pengendali United dipersoalkan dan disifatkan gagal untuk membentuk pasukan yang bagus untuk saingan liga musim ini.
Solskjaer menyertai United sejak akhir tahun 2018 menggantikan Jose Mourinho yang dipecat dan masih belum mampu untuk memberikan sebarang trofi kepada The Red Devils.
Berdasarkan statistik, Solskjaer telah memimpin United dalam 91 perlawanan di semua kejohanan dan berjaya membantu pasukan meraih 50 kemenangan, 19 seri dan 22 kali kekalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!