Kementerian pertimbang cadangan kenakan caj parkir di Brickfields
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempertimbangkan cadangan persatuan peniaga di kawasan Brickfields untuk melaksanakan caj parkir di luar bangunan tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah parkir dan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Menurutnya, kawasan itu sebelum ini tidak dikenakan bayaran menyebabkan banyak kenderaan luar menyalah guna parkir berkenaan hingga mengganggu pelanggan yang berurusan di kawasan tersebut.
"Kita dapati ramai yang mengambil kesempatan parkir kereta secara percuma di sini dan seterusnya menaiki LRT (Sistem Transit Aliran Ringan) untuk ke tempat kerja atau tempat lain sehingga malam.
"Situasi ini membuatkan pengunjung yang datang untuk membeli barang sukar mendapat parkir, sekali gus menyebabkan mereka hilang minat mereka untuk datang ke sini," katanya ketika melawat kawasan tersebut baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya akan meminta supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kompaun dan tindakan tunda ke atas kenderaan yang membuat parkir bertindih sehingga menyebabkan kesesakan.
Dalam perkembangan sama katanya, kawasan tersebut telah menjalani kerja naik taraf di bawah projek 90 hari hasil pertemuan yang dilakukan Jun lalu.
"Ia melibatkan projek jangka masa pendek dengan menambah baik kemudahan infrastruktur di Kompleks Tun Sambathan antaranya pencahayaan, kipas, perangkap minyak selain kerja mengecat bangunan yang dijangka dilaksanakan minggu ini.
"Selain itu, kawasan belakang bangunan sama juga telah di naik taraf melibatkan pembaikan longkang, gantian penutup longkang, landskap selain aspek kebersihan serta keselamatan turut diberikan perhatian," katanya.
Katanya, pihaknya juga akan menambah tapak perniagaan di kawasan itu bagi memberi platform kepada golongan muda menjadi usahawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!