PBNP dakwa FAM pandang remeh isu Sumareh
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) didakwa tidak menunjukkan minat untuk mencari penyelesaian kemelut yang sedang berlaku membabitkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.
Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abdul Manaf berkata, tindakan FAM yang hanya memberi alasan menunggu tindakan daripada FIFA terlebih dahulu mengenai kes tersebut tidak boleh diterima dan tidak berasas.
"PBNP telah membuat aduan kepada FAM namun pihak FAM tiada kecenderungan dan tidak menunjukkan minat untuk mencari penyelesaian kemelut ini.
“FAM hanya memberi alasan untuk menunggu tindakan dari FIFA terlebih dahulu dan ini tidak boleh diterima oleh pihak PBNP kerana tidak berasas. Pemain ini sebagaimana diketahui adalah seorang pemain tempatan dan kes ini melibatkan kawalan dan bidang kuasa FAM.
“Perkara ini juga telah disahkan oleh Setiausaha Agung AFC dalam satu kenyataan media beliau.
Sebagai badan induk bola sepak negara yang menaungi anggota gabungan seperti PBNP, FAM selayaknya membantu bagi penyelesaian kemelut ini agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan sebetar tadi.
Sebelum ini, Sumareh menggemparkan industri bola sepak negara apabila tidak menyertai latihan dan mendakwa PBNP tidak membayar gaji sehingga sehingga klausa 8.7 diaktifkan.
Menurut Norlia, PBNP mempunyai asas kukuh berserta dokumen yang sah bagi membuktikan badan induk bola sepak negeri itu di pihak yang benar.
"Semua tuduhan yang dibuat oleh pemain tersebut adalah palsu, rekaan dan satu cubaan manipulasi oleh seorang pemain naturalisasi yang mendapat kerakyatan Malaysia.
“Atas alasan-alasan tersebut dan diatas nama kebenaran, maka PBNP berhak membentangkan kes dengan selayaknya,” katanya.
Jelasnya, PBNP juga sedia membawa perkara tersebut kepada pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia sekirany FAM terus membisu mengenai perkara tersebut.
"PBNP percaya pihak FAM dapat memberi perhatian yang serius dan segera terhadap perkara ini. Jika pihak FAM masih tidak menunjukkan minat untuk mengendalikan aduan ini, PBNP tidak teragak-agak untuk merujuk kes ini kepada lain-lain badan timbang tara atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan malah ke pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!