PRN Sabah: Pesakit Covid-19 tidak boleh mengundi

Pengundi yang positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini. - Gambar kecil: Ismail Sabri Yaakob
Pengundi yang positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini. - Gambar kecil: Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengundi yang positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini, demikian diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini memuktamadkan keputusan itu bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

"Kita telah timbang. Mereka yang positif dan sedang dirawat di hospital tidak dibenarkan mengundi. Kita tidak mahu ada kluster mengundi," katanya pada sidang akhbar perkembangan PKPP di sini hari ini.

Bagi yang bergejala, mereka dibenarkan untuk mengundi dan mereka akan dibawa di tempat pengundian khas yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ismail Sabri berkata, mereka yang sedang dikuarantin turut dibenarkan mengundi, namun perlu mengemukakan permohonan kebenaran kepada Pejabat Kesihatan Daerah supaya dapat ditentukan masa dibawa keluar untuk mengundi di tempat khas yang disediakan SPR.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), menyarankan SPR menyediakan ruang dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pesakit Covid-19 mengundi pada pilihan raya itu.

Hari ini berlangsung pengundian awal bagi PRN Sabah dan seramai 16,877 individu terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka layak menunaikan tanggungjawab masing-masing di 55 pusat mengundi di seluruh negeri.

Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan semua calon dan petugas parti politik supaya mengamalkan kawalan kendiri yang ketat semasa menjalankan kempen PRN.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh kempen dari rumah ke rumah, kita tak halang tetapi kita harap jumlah dapat dikurangkan iaitu masuk ke rumah satu atau dua orang sahaja bertemu dengan pengundi," katanya.

Bagi kempen menerusi ceramah pula, SOP asas seramai 30 orang sahaja perlu dipatuhi.

Mengenai masa yang ditetapkan SPR bagi pengundi biasa keluar mengundi pada Sabtu ini, Ismail Sabri berkata, pematuhan terhadap waktu yang ditetapkan tersebut bukan syarat wajib.

“Kalau tidak dapat datang pada waktu yang ditetapkan (SPR), datang pada waktu lain masih boleh mengundi.

“Jadi jangan salah anggap bila tidak dapat keluar pada waktu yang ditetapkan (SPR), langsung tidak datang mengundi,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, pengundi boleh hadir mengundi pada tempoh pengundian namun mereka digalakkan datang pada waktu ditetapkan SPR yang bertujuan mengelakkan kesesakan dan mengurangkan tempoh menunggu untuk mengundi.

Menteri Pertahanan itu turut menafikan berita yang tular menerusi media sosial kononnya ‘lockdown’ akan dilaksanakan selama empat hari di tiga kampung di Semporna iaitu Kampung Air, Kampung Bangau-Bangau dan Simunul di Semporna, Sabah.

“Saya tidak pernah umumkan perkara itu. Kalau tengok dari segi logiknya tidak pernah ada ‘lockdown’ empat hari, biasanya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan selama 14 hari. Jadi itu adalah berita palsu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!