Reezal Merican puas hati perjalanan Liga-M
[DIKEMAS KINI] MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpuas hati dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah dijalankan dalam pengelolaan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang kembali bersambung mulai 28 Ogos lalu.
Justeru, beliau berharap semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran Liga-M, sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk beralih ke fasa yang seterusnya bagi membenarkan kehadiran penyokong ke stadium.
“Alhamdulilah saya dapat hadir untuk tengok sendiri pematuhan SOP yang telah ditetapkan di mana mereka telah melaksanakan dengan baik dalam perlawanan antara Kedah dan Sabah. Saya juga dapat maklumat untuk perlawanan lain, semuanya berjalan dengan lancar.
“Dengan pematuhan penjarakan fizikal, dengan SOP ketika pendaftaran masuk sehinggalah ke dalam stadium semuanya dalam keadaan baik dan saya berharap ia akan berterusan kerana jika ia terus positif seperti ini, kita akan dapat ke fasa lima dan enam.
“Sekarang kita di fasa empat iaitu membenarkan untuk mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton, jadi kalau ini dapat berterusan dengan baik, mungkin kita boleh meyakinkan MKN dan KKM untuk beralih ke fasa seterusnya pula.
“Tapi saya tidak mahu letak harapan apa-apa lagi kerana apa yang penting agar semua dapat terus melaksanakan pematuhan SOP dengan tegas untuk elak sebarang kemungkinan jangkitan Covid-19, dan untuk sekarang saya memang cukup berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan,” jelasnya.
Terdahulu, beliau sendiri ‘turun padang’ memantau pematuhan SOP di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi membabitkan perlawanan CIMB Liga Super antara Kedah dan Sabah.
Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Sebanyak 48 perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier telah berlangsung dengan lancar menerusi pematuhan SOP yang ketat selepas saingan Liga-M kembali bersambung sejak ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.
Aksi CIMB Liga Super dan Liga Premier kini berbaki tiga perlawanan sebelum kesemua pasukan memberi fokus kepada saingan TM Piala Malaysia pada Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!