JDT abadikan nama Luciano Figueroa di Stadium Sultan Ibrahim

JDT mengabadikan nama Luciano Figueroa di satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Johor Southern Tigers
JDT mengabadikan nama Luciano Figueroa di satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

KELAB bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengabadikan nama pengurus kelab itu Luciano Figueroa di satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

Pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah kawasan yang dinamakan Luciano Figueroa Stand itu adalah sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa Figueroa sepanjang berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan dari 2014 hingga 2018.

“Hari ini, kami mengiktiraf jasa bekas pemain dan kini menjadi pengurus pasukan Luciano Figueroa, yang pernah meraih pelbagai piala... termasuk detik bersejarah muncul pasukan pertama dari Asia Timur memenangi Piala AFC. Namanya akan terpahat selamanya di stadium ini.

“JDT adalah kelab yang akan sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada orang yang berjasa dan mencipta sejarah kepada bola sepak Johor... sebelum, semasa dan masa depan. Kami sentiasa menghargai pemain, jurulatih dan petugas yang berkhidmat dan mencipta sejarah bersama JDT,” titah baginda dalam satu hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Majlis penamaan tempat duduk berkenaan disempurnakan Tunku Ismail disaksikan oleh Duta Besar Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas serta Figueroa.

Figueroa menyertai JDT pada 2014 kekal selama dua musim sebagai pemain dengan menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan sebelum menjadi pengurus pasukan pada Ogos 2018.

Bekas pemain kebangsaan Argentina itu memenangi dua kejuaraan Liga Super Malaysia (2014 & 2015), Piala Sumbangsih 2015 dan Piala AFC 2015 sebagai pemain.

Figueroa juga berjaya memenangi dua lagi Piala Sumbangsih (2019 & 2020), Liga Super 2019 dan juga Piala Malaysia 2019 sebagai pengurus.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!