Palestin lepas jawatan Presiden Majlis Liga Arab
RAMALLAH - Palestin mengundurkan diri daripada peranan penting dalam Liga Arab sebagai tanda protes terhadap kegagalan blok serantau itu untuk menentang perjanjian negara Arab-Israel.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan Presiden Majlis Liga Arab yang bergilir kerana ia gagal bersetuju dengan draf resolusi yang mengutuk perjanjian menormalkan hubungan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel.
Awal bulan lalu, Palestin mempengerusikan sesi terbaharu majlis terbabit dan dijangka kekal memegang jawatan itu sehingga Mac 2021.
Delegasi mereka turut membentangkan draf resolusi pada mesyuarat majlis terbabit di Kaherah yang dihadiri para menteri luar blok 22 negara anggota untuk mengecam perjanjian damai Israel tersebut.
Palestin semakin berang selepas Bahrain mengikut jejak langkah UAE untuk menormalkan hubungan dengan Israel.
Ia jelas melanggar dasar Liga Arab terhadap konflik Israel-Palestin yang disifatkan oleh Palestin sebagai satu bentuk pengkhianatan.
Pada 2002, blok terbabit menggunapakai perjanjian damai dicadangkan Arab Saudi dan telah diperbaharui pada 2017.
Di bawah perjanjian itu, ia hanya menawarkan hubungan sedemikian jika Israel menarik diri dari wilayah yang diduduki mereka ketika Perang Enam Hari 1967, penubuhan negara Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya dan penyelesaian adil untuk pelarian Palestin.
Pelan damai Arab itu bagaimanapun ditolak oleh pentadbiran AS selepas beberapa kali ditangguhkan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!