Kestabilan untuk pembangunan
KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bertambah hangat dan berbaki tiga hari sahaja lagi. Semalam juga seramai 16,877 pengundi awal yang terdiri daripada 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis telah membuang undi masing-masing di 55 pusat pengundian di seluruh negeri.
PRN ini juga menyaksikan penglibatan calon teramai iaitu 447 calon daripada 16 parti politik. Parti Barisan Nasional (BN) berharap untuk memperoleh kemenangan yang membanggakan sekali gus dapat memberikan kestabilan politik yang didambakan oleh rakyat Sabah.
Mengapakah kestabilan politik itu penting bagi sesebuah kerajaan? Tanpa kestabilan politik dan kerajaan, amat sukar untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi rakyat kerana segalanya berada dalam keadaan ketidaktentuan.
Para pelabur tidak yakin untuk membuat komitmen kerana dikhuatiri dasar akan berubah sekelip mata sekiranya kerajaan berubah. Perniagaan baik besar dan SME terpaksa menangguhkan sebarang program untuk membesarkan perniagaan masing-masing.
Pekerjaan baharu tidak dapat dicipta dan pekerjaan sedia ada mungkin akan secara perlahan-lahan terhapus kerana ketiadaan insentif bagi pemilik untuk meluaskan operasi perniagaan mereka.
Satu ketika dahulu, Sabah mengamalkan sistem penggiliran Ketua Menteri untuk mengelakkan perselisihan di antara parti-parti komponen BN. Setiap Ketua Menteri yang dipilih akan berkhidmat selama dua tahun dan kemudiannya akan melepaskan jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada rakan parti komponen yang lain.
Akibatnya, sukar untuk kerajaan negeri Sabah melaksanakan dasar dengan konsisten kerana sudah pasti setiap Ketua Menteri mempunyai pandangan tersendiri mengenai sesuatu isu dan itu belum dikira mengenai legasi yang mereka ingin tinggalkan.
Penulis mengakui kebijaksanaan pimpinan BN terdahulu untuk mengamalkan sistem penggiliran itu dan ia ‘berjaya’ membawa sedikit kestabilan politik tetapi rakyat Sabah terpaksa membayar harga yang mahal melalui penangguhan pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi yang signifikan dan berjangka panjang.
Namun, berkat setiakawan dan kesedaran untuk meletakkan Sabah kembali seiring pembangunannya dengan negeri-negeri lain, pimpinan BN Sabah meletakkan kepentingan rakyat sebagai paling utama dan sanggup berkorban dengan meletakkan UMNO Sabah sebagai parti teras BN di Sabah.
Hak
Mulai saat itu, rangka kerja pembangunan infrastruktur dan ekonomi negeri lebih tersusun dan mendapat sokongan padu kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur. Projek infrastruktur galak berjalan, sekolah-sekolah baharu dibina, jaringan internet, elektrik dan air ditambah dan dinaik taraf, jalan-jalan utama termasuklah Projek Lebuh Raya Pan Borneo. Ini termasuklah bantuan tunai untuk golongan yang layak seperti nelayan, peneroka, pekebun kecil, pesawah dan sebagainya.
Malah, keselamatan dan pertahanan wilayah Sabah juga dijaga tanpa kompromi. ESSCOM dikuatkuasakan agar wilayah Sabah dilindungi daripada segala bentuk ancaman luaran yang boleh mengganggu gugat kestabilan negeri.
Semua yang dinyatakan di atas adalah hak rakyat Sabah kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia. Sinergi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah penting bagi kemajuan Sabah.
Justeru, penulis merayu rakyat Sabah khususnya untuk menjadikan PRN kali ini medan terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik dan hubungan kekeluargaan mesra Kuala Lumpur-Kota Kinabalu.
Penulis bersama teman-teman jentera Pemuda BN dari seluruh negara telah berkampung di Negeri Di Bawah Bayu sejak tiga minggu yang lepas.
Penulis amat yakin bahawa rakyat Sabah berhak dan layak untuk menikmati pembangunan negeri yang pesat dan kemajuan yang tidak kurang daripada negeri-negeri lain dalam Malaysia yang kita cintai bersama.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!