Taikun hartanah China dijel 18 tahun kerana rasuah
BEIJING - Seorang taikun harta tanah China dan pengkritik lantang Presiden Xi Jinping dipenjarakan selama 18 tahun hari ini kerana melakukan rasuah dan penyelewengan dana rakyat, kata kenyataan mahkamah.
Taikun itu, Ren Zhiqiang yang pernah menjadi elit dalam kalangan Parti Komunis China tidak dilihat di khalayak ramai pada Mac lalu selepas menulis satu esei yang mengkritik Jinping berhubung pandemik koronavirus (Covid-19).
Pendakwaan hari ini menyatakan Zhiqiang menyeleweng hampir 50 juta yuan (RM30,477,616) dana awam dan menerima rasuah sebanyak 1.25 juta yuan (RM761,856), menurut satu kenyataan daripada sebuah mahkamah di Beijing.
Kenyataan itu berkata, taikun berkenaan mengaku semua jenayahnya secara sukarela dan tidak akan merayu tentang hukuman tersebut.
Dia yang berusia 69 tahun turut didenda sebanyak 4.2 juta yuan (RM2,560,144).
Pejuang-pejuang hak asasi manusia mendakwa Jinping dan Parti Komunis menggunakan dakwaan rasuah untuk menutup mulut para penentangnya.
Zhiqiang sebelum ini merupakan bekas pengerusi syarikat pemaju hartanah milik kerajaan, Huayuan Group dan terkenal dengan gelaran 'Meriam Besar' kerana kelantangannya mengkritik kepimpinan China. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!