MB tegur penjawat awam di Johor

Osman bersalaman bersama antara pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang hadir. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor
Osman bersalaman bersama antara pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang hadir. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menggariskan lima perkara kepada penjawat awam Johor agar tanggungjawab dan amanah digalas dapat dilaksanakan.

Menurutnya, pertama, bersedia menerima perubahan dan memahami aspirasi kerajaan baharu di mana peranan serta tanggungjawab penjawat awam bukan hanya sebagai 'yes man'.

"Tetapi beri input penting serta mencadangkan perubahan secara profesional dan tidak berat sebelah sekiranya sesuatu polisi atau dasar sudah lapuk dan tidak lagi sesuai digunakan pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya kepada pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor di Kompleks Sukan Educity di sini, semalam.

Osman berkata, kedua, penjawat awam perlu bekerja keras mengubah tanggapan masyarakat yang kini mempunyai kepercayaan rendah kepada kumpulan tersebut.

"Kita semua bertanggungjawab untuk memulihkan perkara ini," katanya.

Perkara ketiga katanya, tumpuan khusus perlu diberikan kepada sistem tadbir urus cekap, amanah dan telus agar tidak berlaku amalan rasuah, keciciran dan ketirisan.

"Untuk itu, penjawat awam perlu berani menyatakan perkara yang benar kepada 'political master' bagi membendung perkara-perkara yang tidak diingini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keempat, negara kini di dalam era teknologi di mana kebanyakan komunikasi kerajaan untuk sebaran menggunakan platform media sosial.

"Untuk itu, penjawat awam perlu bersedia dan bergerak seiring perubahan cara kerja ini dan berupaya untuk menjelaskan segala isu berbangkit dengan segera supaya dapat menjaga nama baik jabatan atau agensi," katanya.

Kelima, penjawat awam Johor perlu memberikan sokongan kepada pihak kerajaan yang ingin melaksanakan penerokaan ekonomi baharu.

Beliau juga akui, tidak mudah untuk melakukan semua itu, tetapi demi memastikan momentum pembangunan negeri ini berada pada landasannya, ia harus dilakukan.

"Sentiasa berpegang teguh kepada tanggungjawab dan amanah kita untuk melaksanakan dan mentadbir Johor ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!