Jalan Ajil-Bukit Besi kembali dibuka

Jalan utama laluan Ajil-Bukit Besi ini dibuka kembali kepada semua lalu lintas bermula awal pagi semalam. (Gambar kecil: Mat Zin)
Jalan utama laluan Ajil-Bukit Besi ini dibuka kembali kepada semua lalu lintas bermula awal pagi semalam. (Gambar kecil: Mat Zin)
A
A
A

KAMPUNG PELA - Laluan utama jalan Ajil-Bukit Besi yang ditutup sepenuhnya sejak pagi Sabtu lalu ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran jambatan di sini, dibuka kembali bermula awal pagi semalam.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud memaklumkan, jalan tersebut kini boleh dilalui semua jenis kenderaan dan lalu lintas kini berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, laluan itu akan ditutup kembali sementara untuk kerja melapis semula premix di kawasan berkenaan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, seorang penduduk JKKK Felda Jerangau Barat, Mat Zin Mat Uyop, 61, berkata, semua penduduk serta pengguna jalan raya tentunya menarik nafas lega kerana kesukaran mereka kini berakhir.

“Ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran sempadan Kampung Pela dan Peroh malam Sabtu lalu, jalan ditutup kepada semua kenderaan namun pengguna masih ada jalan alternatif.

“Bagaimanapun jalan alternatif seperti melalui simpang Felda Bukit Bading-Kampung Bukit Mokmek-Tok Dor agak sempit. Apabila ada kenderaan lain dari arah berlawanan, salah sebuah kena berhenti terlebih dahulu.

“Saya sendiri sempat dua kali lalui jalan itu untuk ke Pekan Ajil, perjalanan ambil masa hampir sejam berbanding sekitar 20 minit melalui laluan utama jalan Ajil-Bukit Besi.

“Syukur pagi ini (semalam) telah dibuka kembali kepada semua kenderaan dan lebih awal berbanding jangkaan iaitu pada petang esok (hari ini) jam 5 petang,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebagai pengguna laluan itu, dia berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya serta pihak lain yang terlibat kerana dapat jalankan kerja-kerja pembaikan dengan cepat dan siap lebih awal daripada jangkaan.

Untuk info, Sinar Harian semalam menyiarkan penduduk dan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah laluan Ajil-Bukit Besi berdepan kesukaran berikutan kejadian tanah runtuh kira-kira jam 11.50 malam Sabtu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!