Zurich Takaful tawar peluang kerjaya
ZURICH Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) komited untuk membantu rakyat Malaysia mengharungi fasa pemulihan susulan pandemik Covid-19 yang melanda melalui disiplin perancangan kewangan yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukesh Dhawan berkata, pihaknya melihat ramai yang terjejas akibat Covid-19 sehingga ada yang hilang pekerjaan.
Beliau berkata, prihatin dengan apa yang berlaku sebagai sebuah syarikat penyedia takaful di Malaysia pihaknya tampil menawarkan satu kerjaya perancangan kewangan yang sangat baik iaitu melalui program 'Zurich My 2nd Income' bagi membantu mereka terutamanya yang kehilangan pekerjaan susulan pandemik itu.
"Program ini menunjukkan peningkatan dari segi sambutan sejak awal pandemik Covid-19 lagi, malah banyak promosi dibuat dengan bantuan rangkaian agensi kami melalui platform media sosial mereka.
"Menerusi program ini, mereka yang berminat untuk menyertai sekurang-kurangnya perlu mempunyai asas kemahiran menjual serta kemahiran sosial dan mereka juga akan diberikan latihan tentang skop keseluruhan kerja mereka," katanya kepada Sinar Harian selepas sesi kunjungan ke Kumpulan Karangkraf semalam.
Menurutnya, 'Zurich My 2nd Income' boleh menjadi satu kerjaya yang sangat memberangsangkan buat mereka yang terjejas akibat pandemik ini sekiranya ia dilakukan dengan betul dan lebih tepat boleh membantu memulihkan masalah kewangan yang dihadapi.
"Lebih penting kami mahu mereka yang terjejas ini berasa termotivasi dan mempunyai harapan yang positif untuk berdepan cabaran mendatang dan jika mereka boleh melakukan itu, itulah maksud pemulihan sebenar yang kita hendak capai," katanya.
Dalam pada itu, Mukesh berkata, dalam tempoh atau fasa pemulihan ini, amat penting untuk seseorang itu memastikan duit dimiliki dilaburkan atau dapat dikembangkan dengan lebih baik.
Menurutnya, Zurich Takaful telah memperkenalkan dana terbaharu, Dana Syariah Global Edge Zurich Takaful yang boleh diakses melalui pelan-pelan berkaitan pelaburannya yang boleh membantu wang ini dikembangkan dengan lebih baik.
Beliau berkata, Dana Syariah Global Edge Zurich Takaful ini menawarkan peluang untuk seseorang itu mempelbagaikan pelaburan dan mengoptimumkan potensi pulangan melalui syarikat-syarikat di negara maju.
Namun katanya, apa yang lebih penting adalah kesedaran serta perancangan kewangan untuk masa depan dan dalam masa terdekat, potensi untuk menyumbang kepada usaha pemulihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!