Henderson mula raih kepercayaan Solskjaer
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui gembira dengan persembahan memukau Dean Henderson pada penampilan sulungnya ketika The Red Devils mengatasi kelab Liga Kejuaraan Luton Town 3-0 pada aksi Piala Liga di Kenilworth Road.
Menurut pengendali yang juga bekas pemain The Red Devils berusia 47 tahun itu, dia kagum dengan kematangan permainan produk akademi Manchester United berusia 23 selepas mengakhiri status pinjaman bersama Sheffield United musim lalu.
"Ya, anda dapat melihat bagaimana ia berlaku, anda dapat melihat bagaimana kematangan Henderson dalam menyelamatkan percubaan pemain Luton Town pada babak kedua.
"Saya sangat senang dengan penampilan Henderson pada perlawanan ini kerana dia tahu bila harus melakukan penyelamatan dan juga cara dia berkomunikasi dengan pemain-pemain semasa perlawanan.
"Henderson juga begitu tenang apabila bola sudah berada dalam kawalan kakinya biarpun lawan memberikan tekanan," katanya.
Pada aksi itu, Juan Mata terlebih dulu meletakkan pelawat di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-44 penghujung babak pertama perlawanan.
Bagaimanapun pada babak kedua anak buah Nathan Jones mula agresif mengasak kubu Manchester United hampir menyamakan kedudukan.
Namun ketangkasan Henderson berjaya menafikan tandukan Tom Lockyer sebelum Marcus Rashford dan Mason Greenwood mengesahkan kemenangan 3-0 pelawat.
Kemenangan ke atas Luton Town itu memadam mimpi negeri anak buah Solskjaer ketika tewas 1-3 kepada Crystal Palace di Old Trafford pada aksi pembuka tirai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.
Menariknya pada aksi ini pengendali dari Norway itu melakukan separuh pertukaran terhadap skuad yang ditewaskan The Eagles dengan penampilan penuh Henderson dan Donny Van De Beek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!