Peniaga Selangor masih perlu pekerja asing
KUALA LUMPUR - Tiga bulan selepas Selangor mengharamkan warga asing bekerja di pasar basah, peniaga mahu tindakan itu ditarik balik kerana kegagalan untuk menggantikan mereka dengan pekerja tempatan.
Dari Ampang hingga ke Petaling Jaya (PJ), peniaga yang membuat gesaan itu berkata, pengharaman sedemikian menyukarkan mereka untuk memulihkan perniagaan yang terjejas teruk akibat ekonomi negara yang menjadi perlahan kerana Covid-19.
Paling menyakitkan hati, mereka dikehendaki untuk terus membayar gaji pekerja asing yang masih memegang permit kerja yang sah, meskipun diberhentikan. Jika peniaga tidak berbuat demikian, mereka menangung risiko sekiranya pekerja asing mereka itu ditangkap bekerja secara haram.
Pekerja Malaysia yang difikirkan dapat menyelesaikan masalah pengharaman pekerja asing, kebanyakannya tidak datang memohon kerja di pasar basah. Jika pun datang, mereka tidak bertahan lama.
Banyak cerita kurang enak mengenai pekerja tempatan ini. Ada yang kerja tak sampai sejam, seperti yang dikongsi peniaga ayam, Lim Ah Suan.
“Dia pergi tandas dan selepas sejam, kami tak nampak lagi muka dia, " katanya, bercerita tentang salah seorang pekerja tempatan yang diambil bekerja untuk gerainya di Pasar Basah PJ Old Town.
“Dalam masa 10 hari, enam orang dah cabut, " katanya, sambil ketawa.
Di belakangnya, ada dua orang sedang sibuk memotong ayam. Pantas betul mereka menghiris isi ayam, mengasingkan tulang dan boleh dilihat darah haiwan itu meleleh ke atas lantai. Kerja yang agak berat, perlu teliti ketika menggunakan pisau yang tajam dan bekerja dalam bangunan tanpa penghawa dingin.
Perniagaan lembab
Jawatankuasa Eksekutif Negeri Selangor membuat keputusan untuk mengharamkan pekerja asing dari pasar basah mulai 19 Jun. Ini sebagai menuruti langkah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ekoran berbelas kes Covid-19 dikesan berpunca daripada peniaga dan pekerja asing di pasar basah.
Pengharaman itu hanya dikuatkuasakan ke atas peniaga kecil, termasuk yang berniaga di pasar basah, sementara peniaga di pasar borong dan pasar raya dikecualikan.
“Apa yang kami katakan, semua peniaga mesti menggunakan pekerja tempatan. Mereka tidak boleh menggunakan warga asing sebagai pembantu mereka, " kata Ng Sze Han, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru.
Beliau menambah, pihaknya mengharamkan warga asing daripada bekerja di pasar basah kerana mahu mendapatkan semula keyakinan masyarakat untuk membeli barangan di pasar berkenaan dan membantu meningkatkan jualan peniaga.
Pelanggan sememangnya telah mula datang ke pasar basah dalam pemulihan ekonomi, tetapi peniaga mendapati mereka tidak boleh lagi memberi tahap perkhidmatan seperti sebelum berlakunya Covid-19.
Bagi membolehkan mereka bertahan dalam perniagaan, ada yang mengurangkan jumlah hari berniaga dalam seminggu, sementara yang lainnya, terpaksa mengurangkan jumlah barangan yang dijual.
Sim King Pak, penjual sayur di pasar pagi Ampang berkata, perniagaannya terjejas kerana beliau tidak mampu menyimpan sebanyak mungkin hasil barangan dari Pasar Borong KL ke Ampang.
“Tanpa bantuan, kami hanya ada sedikit barangan untuk dijual. Macam mana nak buat keuntungan?" tanya beliau.
Banyak kali juga beliau cuba mengambil orang tempatan untuk bekerja dengannya tetapi akhirnya mereka akan berhenti kerja.
Chong Tek Keong, Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur Malaysia berkata, peniaga di Pasar Borong KL yang dikecualikan daripada pengharaman itu juga berhadapan dengan masalah yang sama.
“Ramai yang berhenti. Selepas dua atau tiga bulan, ketika kami mahu buat kontrak untuk mereka tandatangani, mereka berkata, 'Maaf boss, saya terpaksa balik kepada pekerjaan lama saya, " katanya yang juga mempunyai perniagaan di Pasar Borong KL.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, rakyat Malaysia boleh melakukan kerja di pasar, selagi mereka ditawarkan insentif serta faedah kerja.
Berhenti guna pekerja asing
Bagi menangani isu kadar pekerja berhenti yang tinggi, pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kerajaan tempatan sepatutnya perlu memberi masa kepada peniaga untuk berhenti menggunakan pekerja asing.
Ini termasuk membenarkan sesetengah pekerja asing bekerja sehingga permit kerja mereka tamat tempoh sementara mengenakan keperluan orang tempatan diambil sebagai pekerja di pasar basah.
"Keputusan yang dibuat secara mendadak memberi kesan teruk kepada peniaga dan tidak adil untuk mereka," katanya.
Perkara ini dipersetujui oleh Presiden Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Berbanding majlis perbandaran lain di Selangor, Klang belum lagi melaksanakan pengharaman pekerja asing di pasar basah dan ia amat disenangi peniaga tempatan.
Menurut Dr Ahmad Fadzli, pengharaman tidak sepatutnya dilaksanakan serentak, tetapi secara berperingkat dengan maklumat diperolehi daripada pihak berkuasa, seperti Jabatan Imigresen.
“Sekiranya kerajaan berkata, 'Kami tidak memerlukan orang asing, ' OK. Berikan kami masa, dan beritahu kami apa keutamaannya. Elok berbincang dan kemudian baru arahkan ia dilaksanakan. Jangan pula batalkan selepas beberapa bulan, " katanya.
Beliau menambah, pihaknya terus menguatkuasakan undang-undang kecil ke atas warga asing menyewa lesen dan menjalankan operasi berniaga di pasar malam.
Bagaimanapun, Ng, tidak mahu menjawab soalan tentang mengapa keputusan itu dibuat secara mendadak. Sebaliknya, beliau berkata, Jabatan Imigresen sepatutnya tidak mengeluarkan permit kerja kepada pekerja asing yang didaftarkan kepada peniaga kecil.
Sementara itu, Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen memberitahu Bernama, keputusan untuk mengharamkan pekerja asing yang mempunyai permit kerja yang sah daripada bekerja di pasar basah tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan.
Masih menunggu
Akur terdapat kekurangan tenaga pekerja oleh sektor yang bergantung kepada pekerja asing, Kerajaan Persekutuan mula melonggarkan sekatan sejak beberapa bulan lalu.
Kementerian Sumber Manusia membenarkan pekerja asing yang diberhentikan untuk bertukar majikan, sekiranya mereka dalam sektor yang sama dan jika usaha majikan untuk menggaji pekerja tempatan, gagal.
Bagaimanapun, ini kemungkinannya tidak melibatkan peniaga kecil yang mengambil pekerja asing selagi kerajaan tempatan enggan menarik balik pengharaman ke atas warga asing.
“Tidak ada keharmonian dasar antara (peringkat kerajaan), " kata Shamsuddin. " Pasaran di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan dan mereka yang membuat peraturan."
Oleh yang demikian, beliau menasihatkan peniaga untuk mempersiapkan diri untuk masa depan dan untuk modenisasi, termasuk berurusan dalam talian.
Beliau memberi amaran, keadaan tidak akan kembali kepada sebelumnya, dalam masa terdekat.
“Covid-19 tidak akan lenyap dalam tempoh masa terdekat. Peniaga perlu menyesuaikan diri," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!