JAS siasat pencemaran najis khinzir di Sungai Kuala Gepai

Tular gambar di Facebook menunjukkan warna air Sungai Kuala Gepai, Bidor di sini yang kehitaman didakwa tercemar akibat pembuangan air najis dari ladang penternakan khinzir berhampiran. - Foto sumber Internet
Tular gambar di Facebook menunjukkan warna air Sungai Kuala Gepai, Bidor di sini yang kehitaman didakwa tercemar akibat pembuangan air najis dari ladang penternakan khinzir berhampiran. - Foto sumber Internet
A
A
A

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menyiasat dakwaan berhubung pembuangan air najis khinzir ke Sungai Kuala Gepai, Bidor di Tapah dekat sini, petang semalam, sebagaimana yang tular di media sosial.

Pengarahnya Rosli Zul berkata, JAS menerima laporan mengenai perbuatan jijik hingga menyebabkan pencemaran sungai di Kampung Kuala Gepai itu, malam tadi.

“Pihak JAS Perak sedang merujuk kes ini ke Jabatan Veterinar dan akan menjalankan siasatan secara bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, tular beberapa gambar di Facebook menunjukkan warna air sungai berkenaan yang kehitaman didakwa tercemar akibat pembuangan air najis dari ladang penternakan khinzir di kawasan berhampiran.

Seorang penduduk kampung Abd Aziz Mohamed, 45, ketika dihubungi berkata kejadian itu bukan pertama kali berlaku, sebaliknya telah berlarutan sejak bertahun-tahun, namun tiada penyelesaian sehingga sekarang walaupun banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan.

Bekas tentera itu berkata penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang turut membawa kesan bau busuk di sekitar sungai berkenaan, dan menurutnya penduduk perkampungan orang asli di Kampung Chang berhampiran turut menerima kesan pencemaran sungai itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!