'Anwar mampu bentuk kerajaan stabil'
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengalu-alukan pengumuman pembentukan kerajaan baharu oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu bagaimanapun berkata, beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai pengumuman yang dibuat Anwar tersebut, sebaliknya hanya mengetahui mengenainya menerusi media pagi tadi.
Menurut Kon Yeow, beliau menyokong apa yang diusahakan Anwar demi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk rakyat.
"Ketika ini, rakyat amat mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil dalam mendepani krisis ekonomi dan kesihatan akibat pandemik Covid-19.
"Jadi, saya harap Anwar mampu membentuk kerajaan seperti itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu
Ditanya sama ada Anwar ada mendapatkan pandangan DAP sebelum membuat pengumuman hari ini, Kon Yeow berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya dan perkara tersebut perlu ditanya kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!