Berkat sabar jaga ibu kudung, dapat juga ke UPSI
BACHOK - Pengorbanan menjaga ibu kudung sebelah kaki membawa seribu keberkatan kepada seorang gadis dari Kampung Kuau, Repek, Bachok apabila bakal bergelar penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak bermula 28 September ini.
Kehidupan anak kedua daripada tiga beradik berkenaan, Nor Atikah Shaimin, 20, tidak seperti orang lain yang menempuh liku getir apabila terpaksa bahagi masa antara belajar dan menjaga ibu, Nor Hayati Osman, 49, yang kehilangan kaki kiri kerana penyakit kencing manis kronik.
Abang sulung, Muhammad Akmal Hidayat, 21, pula orang kurang upaya (OKU) fizikal (bongkok).
Nor Atikah berkata, dia yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67 pada peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menerima surat tawaran menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu di UPSI pada 25 Ogos lalu.
“Yuran pengajian lebih RM2,000 itu tertera pada surat. Sebaik saya tunjuk pada ibu, dia terus pengsan. Saya minta bantuan bapa saudara bawa ibu ke hospital dan ditahan di wad selama lima hari.
“Saya tahu ibu risau fikirkan bagaimana untuk mendapatkan duit bagi menjelaskan yuran ribuan ringgit itu sehinggakan dia diserang darah tinggi hingga pengsan,” katanya ketika ditemui di SMK Badak di sini semalam.
Terdahulu, Nor Atikah antara 21 pelajar yang menerima sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang daripada Pertubuhan Persaudaraan Ummah Darul Salam Malaysia Cawangan Kelantan (GTO) di SMK Badak, Bachok semalam.
Hadir sama, Pengetua, Kamaruddin Hassan dan Pengerusi GTO, Haslina Jamaluddin yang menyampaikan sumbangan.
Nor Atikah berkata, dia sekeluarga sememangnya buntu untuk mengumpul wang sejumlah itu kerana hanya bergantung kepada wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500.
Namun Nor Atikah bernasib baik apabila badan bukan kerajaan (NGO) GTO turut membantu membayar yuran pengajiannya.
Katanya, sepanjang ketiadaannya, ibunya akan dijaga abangnya dan seorang lagi adiknya Nor Amani, 19.
“Sebelum ini, selepas pulang sekolah, saya yang akan memasak dan mandikan ibu. Ada kalanya saya ponteng sekolah kerana temankan ibu di hospital. Selepas ini, abang dan adik akan jaga ibu.
“Saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang menghulurkan pertolongan. Saya berjanji akan pulang dengan segulung ijazah untuk membahagiakan hati ibu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi GTO, Haslina Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kesusahan dialami Nor Atikah sebelum berhubung dengan pihak sekolah berkenaan.
“Daripada itu kami memperoleh 20 lagi pelajar dalam kalangan asnaf yang memerlukan bantuan dan turut sama dibantu.
“Bantuan seperti ini julung kali dilakukan dan berhasrat untuk menyampaikan lagi sumbangan kepada bakal penuntut di daerah lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!