Paus mati meningkat 380 ekor
SYDNEY - Operasi menyelamat ikan paus yang terdampar di selatan Australia semakin sukar selepas kira-kira 380 mamalia tersebut dilaporkan mati, menurut pihak berkuasa hari ini.
“Kami berjaya selamatkan 50 haiwan tersebut dan dianggarkan 30 yang terkandas di perairan cetek Macquarie Harbour masih hidup,” kata Pengurus Taman dan Perkhidmatan Hidupan Liar Tasmania, Nic Deka.
Kira-kira 60 individu termasuk sukarelawan mahir menyertai operasi menyelamat sejak kelmarin dengan menggunakan bot dilengkapi tali khas untuk membantu haiwan tersebut kembali semula ke laut.
Difahamkan, kira-kira 200 lagi paus spesies pilot sirip panjang ditemui di Macquarie Harbour, pantai barat Tasmania, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 470 ekor.
Kesemuanya dijumpai di kawasan terletak antara tujuh dan 10 kilometer dari kumpulan paus pertama.
Susulan itu, pihak berkuasa meluaskan kawasan pencarian untuk memastikan jika terdapat lagi paus yang mungkin terkandas di lokasi berhampiran.
Kelmarin, pihak berkuasa digemparkan dengan penemuan kira-kira 270 paus pilot yang mendorong usaha menyelamat secara besar-besaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Operasi mencabar selamatkan 180 ikan paus
Lagi 200 ekor ikan paus ditemui terkandas di Tasmania
Sehingga kini, punca kejadian itu masih tidak diketahui walaupun saintis telah melakukan kajian fenomena tersebut selama beberapa dekad.
Penyelidik ikan paus di Universiti Griffith, Dr Olaf Meynecke berkata, paus pilot menggunakan sonar canggih untuk mengesan mangsa dan orientasi.
“Beberapa teori mengaitkan insiden itu dengan perubahan dalam medan elektromagnet. Ia mungkin disebabkan oleh ribut solar atau gempa (aktiviti seismik),”katanya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!