Mencari yang tersembunyi di Semenyih
TAHNIAH kepada Barisan Nasional (BN) yang mula keluar dari zon selesa dan berkreativiti dengan keputusan meletakkan calon yang mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat setempat. Maka, 26 Januari menyaksikan BN memenangi PRK Cameron Highlands, juga mencatat sejarah apabila ‘Abang Ramli’ menjadi wakil rakyat di Dewan Rakyat.
Sekarang, semua tumpuan parti politik teralih ke Dun Semenyih pula. Pilihan raya ini bakal menjadi pilihan raya yang keenam selepas Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Port Dickson dan Cameron Highlands, dan yang ke empat di Selangor!
Seramai 54,503 pengundi akan membuat keputusan mereka pada 2 Mac 2019 nanti. Demografi pengundi Semenyih ialah majoriti Melayu (68 peratus), Cina (17 peratus) India (14 peratus) dan lain-lain (1 peratus) bakal menyaksikan parti politik berteraskan Melayu akan bertanding.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal mempertahankan kerusi tersebut, dan gerak kerja pencalonan telah pun bermula. Adakah Pas akan memberi sekali lagi laluan kepada BN untuk bertanding? Sebagaimana yang disarankan oleh Presiden Pas, kerjasama erat telah menjadi bukti formula kemenangan di Cameron Highlands.
Sekiranya kerjasama ini diteruskan, maka Pakatan Harapan (PH) menghadapi saingan sangat getir, dan Bersatu terbeban untuk membuktikan penerimaan masyarakat Melayu Semenyih khasnya, dan orang Melayu secara amnya. Berdasarkan keputusan PRU14, jumlah undi Bersatu (PH) ialah 23,428 manakala jumlah undi Umno (BN) 14,464 dan Pas 6,966, manakala PSM 1,293. Sekiranya pilihan raya ini melibatkan pertembungan dua penjuru, ia merupakan sesuatu yang sangat hebat.
Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan pengundi-pengundi Semenyih, dan rakyat Malaysia agar isu-isu setempat menjadi pertaruhan dalam menarik undi. Isu lambakan pekerja asing di Semenyih menjadi salah satu masalahnya. Begitu juga dengan masalah kesesakan lalu-lintas, kos yang tinggi dalam mendapatkan lesen perniagaan penjaja, serta beberapa isu negeri seperti bekalan air, kos hidup yang semakin meningkat serta pengurusan sampah.
Carilah yang tersembunyi di Semenyih untuk dijadikan manifesto dan agenda berkempen. Hindarilah daripada kempen negatif, seperti poster berbaur perkauman, salah guna aset negara, dan perilaku menjelikkan yang berlaku di Cameron Highlands tempoh hari. Ia tidak membantu pengundi Semenyih! Apatah lagi ia melibatkan Melayu-Islam yang beradab dan berbudaya tinggi.
Adakah PRK ini akan meneruskan kecemerlangan BN? Atau PRK Semenyih menjadi satu lagi contoh perubahan masyarakat bandar dan sub urban menolak politik berasaskan etnik? Moga sinar mentari di Bukit Broga menjadi saksi pembaharuan ini. Kepada pengundi Semenyih, jalankan tanggungjawab kalian. Pilihlah yang memberi faedah kepada masyarakat Semenyih, dan jadilah pengundi yang rasional.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!