70 bomba padam kebakaran kedai RM2
SELAMA - Anggota bomba daripada enam balai dan enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terpaksa dikerah untuk memadam kebakaran tiga premis menjual barangan plastik dan perabot di Pekan Selama di sini hari ini.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd Nor Khairi Johari berkata, pihaknya mengetahui kejadian apabila menerima panggilan jam 1.43 petang.
Menurutnya, selain tujuh anggota BBP Selama, operasi tersebut membabitkan 63 anggota tambahan dari balai Batu Kurau, Kamunting, Bagan Serai, Kuala Kurau dan Serdang.
"Kita juga mendapat bantuan daripada anggota Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) turut membantu daripada PBS Kuala Kurau, PBS Parit Buntar, PBS Sungai Puyu, PBS Sungai Jawi, PBS Baldor dan PBS Kampung Jawi.
"Bagaimanapun, kejadian ini tidak membabitkan kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Jelas Mohd Nor Khairi, sebanyak 11 jentera digunakan bagi tujuan mengawal kebakaran dan sehingga kini kerja-kerja pemadaman masih dilakukan.
Menurutnya, kebakaran tersebut menyebabkan kedai berkenaan musnah 60 peratus melibatkan barangan plastik dan perabot.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin berkata, orang ramai pada mulanya ingin membantu menyelamatkan barangan perabot tetapi tidak dibenarkan bomba.
"Kejadian berlaku sangat pantas dan melibatkan beberapa kedai berhampiran, malah pada awalnya orang ramai tak dibenarkan berada berhampiran kawasan kerana keadaan berisiko.
"Selepas keadaan terkawal orang ramai dibenarkan menolong pemilik kedai menyelamatkan barang-barang dan saya kebetulan berada di Pekan Selama ini bersama-sama bantu mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!