Peniaga sate Sipitang anggap PRN lubuk rezeki

Rukizam menunjukkan sate Sipitang yang menjadi antara hidangan tersohor di Sipitang.
Rukizam menunjukkan sate Sipitang yang menjadi antara hidangan tersohor di Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Sejak hari penamaan calon, barisan gerai yang popular dengan hidangan sate mula menjadi tumpuan pengunjung terutama mereka yang datang khas untuk berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di daerah ini.

Sipitang yang terletak kira-kira 140 kilometer dari Kota Kinabalu antara daerah yang tidak terlepas menjadi tumpuan daripada mana-mana jentera parti yang berkempen dalam memenangkan calon masing-masing.

Ia sekali gus menjadikan hidangan sate yang tersohor sejak dahulu semakin meriah apabila dikunjungi pelbagai jentera parti tidak kira daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan parti lain yang turut bertanding khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.

Menurut seorang peniaga sate, Rukizam Talia, 30, kehadiran pengunjung terdiri daripada jentera parti yang berkempen di daerah ini sedikit sebanyak membantu memeriahkan semula aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

"Sejak hari penamaan calon lagi gerai kami sudah mulai dikunjungi orang ramai malah beberapa calon bersama jentera mereka datang makan di gerai saya menikmati sate Sipitang.

"Bagi saya, kehadiran mereka akan memeriahkan lagi perniagaan kami yang sedikit terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) baru-baru ini," katanya ketika ditemui digerainya di sini kelmarin.

Rukizam berkata, biasanya pada hujung minggu gerai mereka akan mendapat kunjungan lebih ramai daripada biasa sehingga menjual lebih 3,000 cucuk sate dalam masa sehari.

"Operasi kami bermula jam 8 pagi, jadi apabila ada program melibatkan pemimpin tertinggi parti, sudah tentu orang akan datang makan di sini dan kami akan menerima tempahan sehingga beribu cucuk sate.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi pada waktu malam pula hanya waktu tertentu saja pengunjung akan datang kerana kebanyakan kempen akan dilakukan di kawasan kampung jauh dari pekan.

"Biasanya kami akan tutup lebih awal iaitu kira-kira jam 9 malam selain terpaksa mematuhi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dilaksana kini," katanya.

Saripah menyediakan sate yang dijual digerainya di Sipitang.
Saripah menyediakan sate yang dijual digerainya di Sipitang.

Seorang lagi peniaga, Saripah Laka, 48, berkata, hidangan sate Sipitang ini menjadi sebutan di merata-rata tempat termasuk dari Sarawak dan Semenanjung.

"Jadi tidak hairanlah kalau orang dari negeri jiran (Sarawak) atau Semenanjung, sudah pasti akan singgah di sini untuk menikmati sate kambing, sate ayam, sate daging dan sate berubut (perut).

"Kuah kacang yang pekat sering menjadi bualan pengunjung sehingga ada yang datang semula untuk menikmati hidangan sate sepanjang hampir dua minggu kempen PRN berlangsung," katanya.

Beliau sebelum itu menganggap dengan berlangsungnya PRN di Sabah seperti lubuk emas bagi peniaga di daerah itu terutama bagi mereka pengusaha sate di barisan gerai berhampiran Esplande Sipitang.

"Mahu tunggu pelancong asing, kita masih dalam tempoh PKP dan pintu untuk pelancong, masih belum dapat dibuka. Ia sekali gus menjejaskan pendapatan kami kerana pelancong tempatan dari Semenanjung pun sudah semakin berkurangan datang.

"Jadi dengan kehadiran orang yang berkempen di sekitar pekan atau jentera dari luar, sudah tentu akan memberi peluang kepada kami sebagai peniaga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!