Pegawai Korea Selatan hilang ditembak mati di Korea Utara
SEOUL - Korea Selatan pada Khamis mengesahkan seorang pegawai yang dilaporkan hilang ditembak mati oleh Korea Utara sebelum membakar mayat mangsa.
Berikutan itu, Korea Selatan mengecam tindakan itu serta menuntut Korea Utara memberikan penjelasan dan menghukum mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
Pegawai berusia 47 tahun itu dilaporkan hilang pada Isnin ketika menaiki kapal Kementerian Perikanan dan Laut untuk menjalankan pemeriksaan di sempadan perairan pulau Yeonpyeong, lapor agensi berita Yonhap.
"Korea Utara menjumpai lelaki itu di perairannya dan bertindak kejam dengan menembaknya serta membakar mayat mangsa, menurut analisis menyeluruh tentera selepas menjalankan risikan.
"Tentera kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam itu dan menggesa Korea Utara memberikan penjelasan dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.
"Kami juga mengingatkan Korea Utara perlu bertanggungjawab ke atas insiden itu," kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.
Sebelum ini pada Julai 2008 seorang warga Korea Selatan, Park Wang-ja maut ditembak di resort gunung Kumgang di Korea Utara ketika mengembara di zon larangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!