Madius sedia kerjasama dengan Joniston meskipun 'berlainan atap'
TUARAN – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sedia bekerjasama dengan lawannya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai bagi membangunkan kawasan itu meskipun berbeza haluan politik.
Madius berkata, kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat harus diutamakan walaupun tidak sehaluan dalam struktur politik
“Sudah menjadi amalan kita dalam parti khususnya UPKO untuk bekerjasama sepenuhnya tanpa keraguan di antara satu sama lain dan sudah pasti kita tetap bekerja sebagai satu pasukan meskipun ‘berlainan rumah’.
“Joniston adalah kawan saya dan kita tidak ada masalah. Saya dengan dia memang serasi dan sentiasa bekerjasama," katanya ketika berucap pada Program Perjumpaan Perdana bersama calon UPKO DUN Kiulu, di Pulou Kelapa, Kampung Malangang Lama, di sini semalam.
Beliau yang juga calon mewakili UPKO akan menentang Joniston bersama empat lagi calon lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan Sabtu ini bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, setiap tahun peruntukan sebanyak RM1juta telah disalurkan kepada penyandang DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bagi membantu pembangunan yang menyeluruh kepada kawasan Kiulu.
Madius berkata demikian bagi mengulas kenyataan calon PBS itu berhubung keterbukaan dan harapannya untuk kembali memimpin bersama selepas Madius membentuk kerajaan negeri Sabah bersama-sama Warisan Plus pada tahun 2018.
“Kita (UPKO) telah berhijrah dengan pendekatan yang baharu iaitu kita memilih kepimpinan Sabah bukan lagi macam dahulu dengan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Madius tidak menafikan bahawa PBS memperjuangkan hak rakyat di Sabah, namun menurut beliau dari segi struktur politik PBS tetap menyandar ke arah BN.
"PBS bergabung bersama-sama parti politik di Semenanjung yang berasaskan kaum dan agama, bukan parti untuk semua. Oleh sebab itu, payahlah kali ini, terpaksalah kita bertanding untuk prinsip perjuangan masing-masing.
"Saya dengan prinsip mahu memperjuangkan hak rakyat Sabah dengan pucuk pimpinan yang diterajui oleh parti tempatan dan dia (Joniston) dengan parti yang didominasi dari Semenanjung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!