Pekerja hotel didenda miliki wang bukan miliknya
KUALA PILAH - Seorang pekerja hotel didenda RM750 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki wang bukan miliknya tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Farhan Mohd Firdaus Kumar, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada 1 Oktober 2017, jam 8.49 malam di Kampung Changgang Pos Johol, Johol telah didapati dalam milikannya iaitu dalam akaun bank Maybank atas nama tertuduh telah dimasukkan wang sebanyak RM500, disyaki diperoleh secara curang yang mana tertuduh telah gagal memberikan penjelasan yang munasabah bagaimana tertuduh memperolehnya.
Tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman.
Berdasarkan fakta kes, pada 1 Oktober 2017, jam lebih kurang 8.30 malam, seorang lelaki berusia 21 tahun telah berkenalan dengan seorang perempuan melalui aplikasi WeChat yang mana dia telah ditawarkan promosi telefon dalam aplikasi tersebut, kemudian berminat membeli sebuah telefon iPhone 5S dengan harga RM500.
Pengadu diminta membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan penjual atas akaun bank milik tertuduh, bagaimanapun penjual itu gagal dihubungi selepas pembayaran dibuat.
Hasil semakan polis mendapati terdapat satu kali kemasukan dalam akaun milik tertuduh sebanyak RM500, siasatan juga mendapati tertuduh tidak tahu wang berkenaan masuk dan keluar dan gagal menjelaskan siapa yang memasukkan wang ke dalam akaunnya dan untuk tujuan apa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!