Kilang roti diarah tutup kerana kotor, jijik
KUALA LUMPUR - Sebuah kilang roti di sini, diarah tutup kerana kawasan pemprosesan didapati kotor dan jijik selepas premis itu diserbu pihak berkuasa, hari ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataannya memaklumkan, serbuan itu dijalankan enam pegawai dan anggotanya pada jam 10 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis tidak memuaskan.
"Kita mendapati bahan mentah dan penyediaan makanan diletakkan di atas lantai yang basah, kotor dengan sisa makanan selain dinding dipenuhi kotoran daki," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu memberitahu, peralatan dan kelengkapan pemprosesan makanan juga didapati kotor dan usang.
"Lebih menjijikkan premis terbabit menggunakan sumber air dari tandas yang kotor dan terdapat kesan hurungan najis tikus di kawasan stor peralatan serta bahan mentah," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, semakan mendapati enam daripada 10 pengendali makanan merupakan warga asing dan semua mempunyai suntikan tifoid.
"Tindakan penutupan premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 diambil terhadap kilang berkenaan berkuatkuasa esok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!