14,467 program IOW di seluruh negara sejak awal tahun ini

Saifuddin menunjukkan risalah ‘Jom Undi' dan ‘Kurangkan Risiko Dijangkiti Koronavirus' pada Program Info On Wheels (IOW) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen). -Foto Bernama
Saifuddin menunjukkan risalah ‘Jom Undi' dan ‘Kurangkan Risiko Dijangkiti Koronavirus' pada Program Info On Wheels (IOW) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen). -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak 14,467 program ‘Info On Wheel’ (IOW) telah dilaksanakan di seluruh negara meliputi 58,358 lokasi sejak ia dimulakan pada 23 Januari lalu sehingga semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,578 program IOW telah dilaksanakan di 5,380 lokasi di seluruh Sabah.

“Hebahan dan penerangan yang dilaksanakan semasa program itu meliputi hebahan semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pencegahan diri dan cara menangani koronavirus (Covid-19), inisiatif kerajaan dan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (e-Census).

“Selain itu terdapat hebahan mengenai bayaran semula moratorium, kempen nasional seperti Rukun Negara, Kempen Kibar Jalur Gemilang, Kempen Anti Pemerdagangan Orang, Kempen Antidadah dan Kempen Jom Mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri program IOW Jom Mengundi di Taman Jumbo, Petagas, Putatan, dekat sini, hari ini.

Saifuddin berkata, IOW merupakan satu daripada program Jabatan Penerangan (JaPen) dalam menghebahkan isu semasa dan memasarkan dasar serta inisiatif kerajaan melalui Unit Bergerak JaPen.

Mengulas mengenai IOW Jom Mengundi, beliau berkata, ia dilaksanakan sejak 8 September lalu sehingga esok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai satu usaha untuk menggalakkan rakyat melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.

“Hebahan itu dilakukan melalui pembesar suara Unit Bergerak JaPen dan turut disertai dengan aktiviti edaran risalah Jom Mengundi dan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 bagi PRN Sabah semasa hari pengundian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!