Pisang sematu melekat seperti kembar
TEMERLOH- Pisang sematu yang ditanam oleh seorang penjawat awam di Taman Kemuning Indah, di sini unik dan menarik perhatian penduduk sekitar.
Mohd Hairul Hisam Mat Yasin, 48, memberitahu, beliau menyedari keanehan pisang yang ditanamnya sejak lima bulan lalu itu ketika jantung pisang terbabit merekah.
Menurutnya, selepas jantung pisang itu merekah, beliau terkejut melihat pisangnya melekat umpama kembar.
"Saya tak pernah lihat lagi keadaan pisang sebegini. Ini pengalaman pertama kali selama saya menanam pokok pisang di sini.
"Memang ramai yang menyatakan minat untuk merasa dan meminta anak pokok pisang ini untuk ditanam," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sebanyak lapan sisir pisang milik Mohd Hairul ditemui dalam keadaan melekat antara satu sama lain.
Ujarnya, anak pokok pisang itu diambil di rumah keluarganya di Bentong sebelum dibawa ke rumahnya di sini.
"Namun tiada yang berkeadaan unik sebegini kecuali yang ditanam di sini.
"Saya berhasrat untuk menanam lebih banyak pokok ini selain memberikan kepada jiran dan rakan bila pisang ini sudah masak," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!