JPN ambil tindakan tegas kepada pemegang dokumen palsu

Ruslin Jusoh
Ruslin Jusoh
A
A
A

KOTA KINABALU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan individu yang memiliki dokumen pengenalan diri palsu akan berdepan tindakan undang-undang selain tidak akan berkompromi dengan mereka yang berbuat demikian khususnya yang membabitkan kad pengenalan diri.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya juga bertegas tidak akan mengiktiraf sistem dwi kerakyatan oleh mana-mana individu sama ada yang masih bermastautin di dalam atau di luar negara.

“Bagi mereka yang mempunyai dwi kerakyatan ini sebenarnya sudah hilang kelayakan untuk mengundi dan oleh itu saya nasihatkan supaya mereka yang memiliki dokumen seperti ini tidak perlu hadir ke mana-mana pusat mengundi nanti.

“Ini kerana jika didapati ada individu yang memiliki dokumen tidak sah termasuk yang mempunyai dwi kerakyatan, tindakan tegas akan diambil,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, individu yang memiliki dwi kerakyatan perlu memilih sama ada ingin terus kekal sebagai warganegara Malaysia dengan melepaskan kewarganegaraan lain atau melepaskan kewarganegaraan Malaysia dan menerima atau mengekalkan kewarganegaraan lain yang dipilih.

Katanya, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkenaan dokumen palsu atau isu dwi kerakyatan khususnya di Sabah.

“Kita di Sabah belum ada menerima apa-apa laporan sehingga hari ini namun kebiasaannya isu dwi kerakyatan ini kami terima jika ada aduan daripada orang awam atau individu tertentu berkenaan mereka yang memiliki dokumen asing.

“Jika didapati ada, tindakan pelucutan akan diambil di mana JPN akan memulakan siasatan setelah menerima maklumat atau aduan yang dikemukakan selain kita juga akan menyemak dengan agensi berkaitan khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ruslin berkata, pihaknya sentiasa mengambil serius berhubung isu dwi kerakyatan selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara yang menyatakan ada kumpulan negara lain yang mempunyai dua kerakyatan akan kembali ke Sabah untuk mengundi Sabtu ini.

“Justeru, pihak JPN menyeru dan menasihatkan mereka yang mempunyai dwi kerakyatan supaya membuat keputusan dan menyerahkan salah satu kewarganegaraan mereka.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu memiliki dwi kerakyatan juga diminta tampil mengemukakan laporan berserta bukti kukuh bagi membantu siasatan lanjut oleh JPN,”katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!