Dua lori berlanggar, seorang maut
MARAN - Seorang pemandu lori terbunuh, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 60 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran Balai Polis Sri Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa,Mohamad Islah Ahmat,47 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud berkata, kejadian melibatkan dua buah lori jenis Hino.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika lori yang dipandu Mohamad Islah dari arah Kuantan menuju ke Maran.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba lori mangsa melanggar belakang lori yang dipandu S.Kumaran, 42, yang ketika itu hendak membelok ke kanan jalan.
"Akibatnya, mangsa maut di tempat kejadian, manakala anak mangsa yang juga kelindan lori, Amir Syawaluddin Mohamad Islah, 19, dan Kumaran mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarulzaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran, Penolong Penguasa Bomba Samsul Effendi Sulaiman berkata, seramai 10 anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.49 pagi.
Sebaik tiba di tempat kejadian, katanya, dua lelaki ditemui tersepit di dalam kenderaan tersebut.
"Anggota terlibat bertindak membuat operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dan mengambil masa kira-kira 15 minit," katanya lagi operasi tamat pada jam 11.56 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!