Erti tanah di sisi Melayu
MELAYU dan tanah pernah diistilah sebagai ‘setanah’. Ertinya bangsa Melayu dengan tanah tidak boleh dipisahkan.
Kebanggaan bangsa pada tanah hakikatnya adalah kebanggaan bahawa inilah tapak keturunannya, inilah bermula sejarahnya. Lalu istilah ‘tanah airku’ dan ‘tanah tumpahnya darahku’ diungkap dalam perbualan bangsa Melayu. Ia adalah simbolik kepada jiwa bangsa tidak terpisah dari tanah.
Tanah bukan sekadar hanya harta yang menjadi komoditi untuk dijual beli. Akan tetapi tanah ada survival iaitu penyambung hidup. Tanah adalah tanda kedaulatan. Bukan kedaulatan sebagai tuan akan tetapi kedaulatan sebagai tapak membina tamadun atau peradaban.
Tanah bererti lambang maruah diri yang menandakan kewujudan dan kehadiran oleh Pencipta bangsa ini menganugerahkan tanah sebagai tempat membangun kehidupan dengan segala keragamannya.
Ketika sebelum kedatangan penjajah setiap bangsa punya wilayah tempat ia bermastautin. Di tapak tanah itu ia membangun peradabannya. Tanah adalah aset untuk menandakan kewujudan sesebuah bangsa.
Bila datang penjajah, tanah wilayah bangsa asal dikuasai dan seluruh peradaban bangsa diganti dengan peradaban penjajah.
Bermula sistem pengurusan tanah iaitu sistem Torrens diperkenalkan pada tahun 1856 oleh British maka konsep tanah boleh dijual beli berdasarkan rekod dan pendaftaran hak milik tanah menjadikan tanah sebagai komoditi untuk dipindah milik antara penjual dan pembeli.
Sungguhpun Kanun Tanah Negara 1965 diperkenalkan, namun tanah sebagai aset bangsa Melayu tetap perlu dipelihara. Sebab itu apabila Tanah Rizab Melayu diwujudkan pada tahun 1914 di negeri Melayu Bersekutu, sehingga diperuntukkan Perkara 89 dalam Perlembagaan Persekutuan, tanah milik Melayu sepatutnya dipelihara untuk pembangunan.
Bagi penjajah British orang Melayu perlu kekal memiliki tanah. Namun, British sengaja mewartakan hanya sekitar 16 peratus pada tahun 1921 tanah Rizab Melayu di kawasan yang ia anggap tidak bernilai ketika itu. Tanah Rizab Melayu pada tahun 2013 mencecah 31 peratus.
Hakikatnya tanah adalah aset kepada bangsa Melayu, bukan komoditi. Jika berlaku jual beli tanah ia harus hanya antara orang Melayu dengan orang Melayu sahaja.
Pertimbangan
Sentimen tanah dalam pemilikan orang Melayu baik oleh individu mahupun oleh agensi yang diterajui oleh bangsa Melayu kini berubah sebagai komoditi. Perbahasan yang kerap diungkap ialah soal tanah pemilikan Melayu kini perlu dinilai dengan harga komersial semasa terutama di kawasan yang pesat membangun.
Lalu kecenderungan pemilik tanah Melayu untuk mengeluarkan Tanah Rizab Melayu (TRM) kepada tanah berstatus bebas supaya nilainya lebih tinggi. Ini dianggap sebagai logik ekonomi tetapi dalam jangka panjang ia akan memberi natijah parah kepada bangsa Melayu bila tapak miliknya dijual kepada orang lain.
Bangsa Melayu kini didorong supaya perlu bersikap pragmatik. Ertinya jangan sentimental lagi. Bangsa Melayu didorong untuk lebih praktikal dalam pertimbangan asetnya. Lantaran itulah dalam era kepesatan ekonomi negara, tanah Melayu menjadi sasaran bukan sahaja oleh pihak swasta malah juga oleh kerajaan sendiri.
Kini kesedaran bangsa Melayu terhadap survivalnya sedang hangat dibahas. Daripada soal bahasa, budaya, politik hinggalah soal ekonomi dan pemilikan aset tanah. Erti tanah tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai komoditi di pasaran terbuka tetapi perlu kembali dilihat sebagai tapak kelangsungan dan peradaban bangsa.
Pemisahan tanah daripada bangsa Melayu mengisyaratkan petaka besar yang akan memberi kesan buat generasi akan datang. Model ekonomi sekali gus model pembangunan akan mencorakkan masa depan aset tanah milik Melayu.
Bagi golongan kapitalis elit Melayu mungkin mudah mengurus aset tanahnya sebagai harta yang boleh dialih kepada orang lain dengan nilai harga yang tinggi. Akan tetapi bagi golongan marhaen Melayu, tanah sekangkang kera itulah untuk ia melangsung kehidupan.
* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!