Anekdot jemur pakaian musim hujan

No Image Caption
A
A
A

SEJAK lebih seminggu lalu, hujan turun hampir setiap hari di Lembah Klang. Fenomena hujan sekarang berlaku berikutan fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya monsun barat daya yang bermula sejak 18 Mei lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, dalam tempoh ini, langit biasanya cerah pada waktu pagi dan kawasan di negara akan menerima tiupan angin lemah daripada pelbagai hala yang kondusif untuk pembentukan awan ribut petir pada sebelah petang.

Oleh sebab hari-hari hujan, Merak Jalanan tidak berani menjemur pakaian di luar rumah.

Minggu lalu, Merak Jalanan jemur pakaian sebelum pergi kerja. Bila balik, baju itu basah semula dan Merak Jalanan terpaksa membasuhnya sekali lagi. Isteri pula balik lewat setiap hari dan tidak sempat mengangkat kain yang dijemur.

Bagi menyelesaikan isu ini, Merak Jalanan berpendapat kedai dobi adalah jalan terbaik, namun sangkaan Merak Jalanan amat meleset sekali. Semua kedai dobi di sekitar kawasan perumahan dipenuhi orang sepanjang masa.

Paling lama Merak Jalanan menunggu untuk menyelesaikan urusan di kedai dobi adalah lebih dua jam!

Bagi Merak Jalanan, kerja menunggu ini adalah satu tugas yang mencabar. Dengan ancaman virus Covid-19 yang masih ada dalam masyarakat, semua orang dilihat berhati-hati. Jika ada pelanggan yang batuk di kedai dobi, pasti dua tiga orang lain akan bangun dan keluar.

Disebabkan kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, akhirnya Merak Jalanan mengambil keputusan menjemur pakaian di dalam rumah sahaja. Pasangkan kipas dan hala ke arah pakaian.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan ada dua anak yang masih kecil, jika tidak diperhatikan, mereka akan tarik pakaian itu dan sidai di tempat lain. Pernah mereka sumbatkan baju di dalam peti sejuk.

Tapi tidak mengapa, musim monsun ini akan berakhir tidak lama lagi dan Merak Jalanan boleh sidai pakaian di luar seperti biasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!