GRS mungkin ‘gigit jari’ di 15 kerusi
SEJARAH pernah membuktikan, pertembungan kerusi antara calon daripada rakan parti gabungan bukanlah satu idea yang berjaya. PKR dan Pas yang bergerak di bawah gabungan Pakatan Rakyat pada tahun 2013 menerima padah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara apabila masing-masing meletakkan calon di kerusi tersebut.
Kegagalan menyelesaikan isu pertindihan kerusi itu menyebabkan undi penyokong berpecah kepada dua dan akhirnya PKR dan Pas berputih mata di Kota Damansara.
Calon Barisan Nasional (BN), Halimaton Saadiah Bohan menang selepas mendapat 16,387 undi menewaskan calon PKR, Mohd Nasir Hashim yang menerima 14,860 undi dan calon Pas, Ridzuan Ismail memperoleh 7,312 undi.
Namun, sejauh mana parti-parti politik yang mendakwa bergerak dalam satu gabungan dan perikatan belajar daripada tragedi pertindihan kerusi Kota Damansara itu?
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kali ke-16 ini, isu pertindihan kerusi merupakan satu bebanan berat yang ditanggung oleh Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Rakyat Sabah.
Pada hari penamaan calon 12 September lalu agak mengejutkan apabila daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingan GRS bertembung sesama sendiri di 17 buah kerusi. Dari segi peratusan ia hampir mencecah 23 peratus. Lebih menghairankan di dua kerusi iaitu Tulid dan Paginatan pertembungan melibatkan ketiga-tiga rakan gabungan.
Walaupun ada beberapa pemimpin GRS mendakwa pertindihan kerusi adalah satu strategi, tiada siapa dapat menafikan di dalam hati pemimpin tersebut hakikatnya mengakui pertembungan sesama sendiri sebenarnya strategi yang akan memakan diri.
Jika tidak mana mungkin menuju beberapa hari pengundian, GRS cuba mengurangkan pertindihan kawasan. Setakat Isnin lalu, pertembungan kerusi berbaki 15 DUN, selepas PBS bersetuju menarik diri di kerusi N39 Tambunan dan N40 Bingkor.
Menurut penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Anantha Raman Govindasamy, rata-rata pertindihan 15 kerusi dalam GRS sebenarnya melibatkan PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), UMNO, Solidariti Tanah Airku (STAR) dan MCA di kawasan Kadazan Dusun Murut atau dipanggil KDM.
Katanya, setiap parti dilihat tidak mahu mengalah kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri selain perlu menunjukkan kepada penyokong mereka bahawa mereka adalah parti utama di situ.
“Setiap tokoh dan personaliti politik contohnya Datuk Dr Jeffrey G Kitingan daripada STAR tentunya mahu membuktikan mereka pejuang utama masyarakat Dusun Murut. PBS pula mempunyai sejarah hebat di Sabah sejak tahun 1985,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Namun akui Anantha Raman, dari segi strategi, sememangnya dengan hanya menamakan seorang calon daripada sebuah parti gabungan melawan satu calon Warisan Plus membolehkan kebarangkalian menang lebih tinggi.
“Namun, jangan dilupa kemunculan sebegitu banyak calon Bebas juga sebenarnya satu lagi strategi politik.. Ini mungkin akan mengurangkan jumlah undi bagi mana-mana calon-calon utama,” katanya.
Bagaimanapun, Anantha Raman berkata, dengan hari pengundian hanya tinggal sehari lagi, GRS perlu bertindak segera untuk mengurangkan pertembungan sesama sendiri.
“Sekiranya GRS kalah di mana-mana 15 kerusi itu kepada Warisan Plus dan lebih buruk membawa implikasi GRS gagal mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, pertembungan di 15 kerusi dalam kalangan rakan gabungan GRS seolah-olah memperlihatkan tiada kesatuan dalam perikatan tersebut.
Namun katanya, persoalannya kini adakah sehari sebelum pengundian, pemimpin tertinggi GRS masih mempunyai kesempatan untuk duduk semeja dan menyelesaikan pertikaian itu.
“Belum terlambat tetapi bagaimana untuk menjelaskannya kepada rakyat supaya rakyat tidak keliru?” katanya.
Namun menurut Jeniri, walaupun berlaku pertembungan, pengundi Sabah akan berbalik kepada dua perkara iaitu personaliti dan keduanya parti.
“Personaliti berpengaruh seperti bekas-bekas ketua menteri dan bekas menteri kabinet mempunyai kelebihan walaupun bertanding sesama rakan gabungan sendiri,” katanya.
Ditanya adakah GRS seolah-olah 'menempah' tiket kekalahan awal pada PRN Sabah dengan pertindihan 15 kerusi itu, Jeniri berkata, tambahan 13 kerusi baharu pada PRN kali ini dijangka memberi kelebihan kepada GRS kerana majoriti kawasan tersebut adalah pengundi bumiputera.
Bagi calon PBS di kerusi DUN Lumadan, Ruslan Muharam, keyakinan untuk menang masih tinggi meskipun berdepan pertembungan sengit sembilan penjuru termasuk calon BN, Datuk Kamarlin Ombi yang pernah menjadi wakil rakyat selama dua penggal di kawasan tersebut.
“Melihat senario pengundi, kita tidak berasa begitu bimbang dan percaya pengundi akan memihak kepada PBS,” kata Ruslan kepada Sinar Harian.Menurut beliau, para pengundi di Lumadan yang majoritinya kaum Bisaya telah menyaksikan sendiri prestasi wakil rakyat sebelum ini dan mampu membuat penilaian terbaik.
Selain itu, Ruslan tidak menolak perpecahan undi bakal berlaku antara parti PBS dan BN yang merupakan parti komponen GRS, namun percaya pengundi akan berpihak kepada PBS.
Sementara itu, calon termuda yang bakal mempertaruhkan nasib dalam gelanggang PRN Sabah ke-16 kali ini, Yillson Yanggun yakin dapat memberi saingan terbaik dalam pertembungan enam penjuru di DUN Tandek.
Bertanding atas tiket PBRS mewakili BN, pemuda berusia 23 tahun itu bakal berdepan pencabar utama Datuk Anita Barinting yang bertanding atas tiket Bebas selain rakan gabungan GRS sendiri daripada PBS, Hendrus Anding.“Setakat ini saya tidak bimbang dengan isu pertembungan kerusi di Tandek kerana orang di sini tahu pilihan mereka dan mengapa mereka mahu mengundi calon tersebut,” katanya.
Menurut pemuda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, BN mampu menang di Tandek yang majoritinya kaum Kadazan Dusun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!