Zlatan Ibrahimovic pemain kedua AC Milan positif Covid-19
GERGASI Serie A, AC Milan mengesahkan penyerangnya, Zlatan Ibrahimovic positif pandemik Covid-19 menjelang aksi pusingan ketiga kelayakan Liga Europa menentang kelab Norway, Bodo/Glimt di San Siro.
Bagaimanapun menurut jurucakap kelab itu, semua pemain dan kakitangan I Rossoneri didapati negatif susulan ujian lanjutan selepas Zlatan Ibrahimovic disahkan positif pandemik berkenaan.
"Zlatan Ibrahimovic kini menjalani kuarantin seperti ditetapkan pihak berwajib sehinggalah dia tidak lagi menimbulkan risiko jangkitan kepada orang lain," menurut kenyataan kelab Serie A itu.
Pemain kelahiran Sweden berusia 38 tahun itu adalah pemain kedua AC Milan yang disahkan positif Covid-19 selepas tonggak pertahanan kelab berkenaan Leo Duarte sebelum ini.
Status Zlatan Ibrahimovic yang kembali mencetak gol pertama pada pentas Eropah musim ini ketika menentang kelab Ireland, Shamrock Rovers, dijangka memberi tamparan hebat kepada skuad Stefano Pioli yang masih mengharapkan keputusan positif pada aksi di laman sendiri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!