Dua faktor Aubameyang kekal di Arsenal
PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang mendedahkan dua faktor yang terus membuatkannya kekal bersama The Gunners walaupun banyak menerima tawaran daripada beberapa kelab gergasi Eropah.
Menurutnya, faktor pengendali pasukan, Mikel Arteta dan sambutan baik daripada penyokong dan kelab terhadapnya menjadi dua perkara utama membuatkannya terus setia bersama kelab itu.
"Dua perkara yang membuatkan saya bertahan di kelab ini adalah pertama kerana Arteta. Sejak dia datang telah membawa banyak perkara positif dan corak permainan baru untuk kami.
"Saya rasa itu perkara yang sangat penting kerana ia juga satu cita-cita saya untuk melihat Arsenal menjadi pasukan kuat.Itu adalah perkara paling utama dan yang kedua adalah penerimaan penyokong terhadap saya.
"Semua orang melayan saya dengan baik, sangat baik. Jadi saya rasa seperti di negara dan rumah sendiri. Itulah sebab utama saya terus kekal di Arsenal," katanya.
Sebelum ini, masa depan Aubameyang menjadi spekulasi ketika jendela perpindahan musim panas ini selepas penyerang kelahiran Gabon itu dilaporkan ragu-ragu untuk menandatangani kontrak baharu bersama The Gunners.
Dia tidak yakin Arsenal akan mampu bersaing dalam kelompok empat pasukan terbaik di Liga Perdana Inggeris walaupun skuad Utara London itu berjaya menjuarai Piala FA musim lalu.
Malah, Arsenal juga tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara sekali gus menarik minat gergasi Sepanyol Barcelona serta Paris Saint-Germain tertarik untuk merekrutnya.
Tetapi, kedua-dua kelab itu akhirnya gigit jari apabila penyerang berusia 31 tahun itu memilih untuk memanjangkan kontraknya bersama Arsenal sehingga 2024.
Aubameyang menyertai Arsenal pada Januari 2018 dan telah menjaringkan 72 gol daripada 111 perlawanan di semua kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!