1,088,711 pengundi biasa bakal mengundi esok
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan seramai 1,088,711 pengundi biasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah supaya keluar mengundi mengikut waktu digalakkan esok.
Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata, nasihat itu bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakkan fizikal ketika berada di pusat mengundi.
Menurutnya, ia selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang berkuat kuasa.
"Bagi pengundi yang menerima kad pengundi (voter's card) atau sudah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.
"Pada voter's card kali ini, SPR juga meletakkan maklumat 'masa keluar mengundi yang digalakkan' bagi setiap pengundi.
"SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan' dan tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pengundi yang tidak menerima voter's card kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.
"Semakan boleh dibuat melalui saluran- saluran berikut: Portal semakan daftar pemilih https:/pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018, atau SMS ke 15888 (taip SPRNO. KAD PENGENALAN," katanya.
Ikmalrudin berkata, pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan voter's card atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.
Menurutnya, voter's C dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.
"Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
"Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini," katanya.
Untuk rekod, PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu dengan menyaksikan 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu.
Info:
- Seramai 1, 088, 711 daripada 1, 103, 646 pengundi biasa layak untuk mengundi pada PRN ke-16 Sabah esok
- Seramai 14,935 orang telah mengundi secara pos Selasa lalu.
- Seramai 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!